ADVERTISE HERE
LAWAS, 28 Sept: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang kemalangan kendiri di Jalan Lawas /Merapok berdekatan Kampung Pengalih dekat sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintenden Liong Tindan berkata, mangsa berusia 47 tahun maut di tempat kejadian dalam kemalangan yang berlaku sekitar jam 6.52 pagi.
“Siasatan awal mendapati mangsa sedang menunggang motosikal seorang diri dari arah Bandar Lawas menuju ke Jalan Merapok.
“Apabila sampai di kawasan Kampung Pengalih, motosikal berkenaan dipercayai telah hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kiri bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, akibat kejadian tersebut, mangsa telah terjatuh dari motosikal dan bahagian muka serta kepala mangsa terhentak pada permukaan bahu jalan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Lawas.
“Berdasarkan kesan kemalangan di lokasi kejadian, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut tidak melibatkan mana-mana kenderaan lain,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pihak IPD Lawas di talian 085-285311. -TVS

2 days ago
11








English (US) ·