Perantis PTS 062 perkukuh kepimpinan wanita Dayak

49 minutes ago 5
ADVERTISE HERE

KUCHING, 25 Sept: Program Perantis PTS 062 menjadi platform memperkukuh kepimpinan wanita Dayak dan pemimpin akar umbi menerusi pembangunan ilmu, keyakinan serta kemahiran kepimpinan yang praktikal.

Pengarah Program Perantis PTS 062, Dr Florince Christy berkata, program berkenaan bukan sekadar melatih wanita mengenai kepimpinan, tetapi turut membina keberanian untuk tampil memimpin dan menyumbang kepada komuniti.

Katanya, wanita memainkan peranan penting dalam membesarkan keluarga, mendidik generasi, memelihara budaya dan warisan serta menggerakkan ekonomi, namun masih memerlukan ruang, peluang, jaringan dan sokongan untuk berkembang sebagai pemimpin.

“Perantis ini adalah platform untuk kita memperolehi ilmu, mengasah kemahiran kepimpinan untuk kita membina jaringan dan platform untuk kita berkongsi pengalaman antara satu sama lain tetapi saya mahu kita pergi lebih jauh daripada itu kerana bagi saya, pemerkasaan bermula dengan diri sendiri sebab ianya tidak sepatutnya berakhir dengan diri sendiri.

“Kita membina keyakinan dalam diri, kemudian kita gunakan keyakinan itu untuk mengangkat dan memperkasakan wanita yang lain kita belajar, kemudian kita berkongsi, kita berkembang dan kita maju bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kepimpinan Wanita Dan Pemimpin Akar Umbi Dalam Tadbir Urus, Pembuatan Keputusan Dan Pembangunan Lestari (Perantis PTS 062) di Kuching, hari ini.

Menurut Florince, pulangan pelaburan program berkenaan adalah untuk melihat lebih ramai wanita Dayak tampil ke hadapan, terlibat dalam kepimpinan komuniti, berani mengambil tanggungjawab serta bersedia menyumbang dalam proses membuat keputusan.

Ujarnya, peserta yang memilih laluan kepimpinan berkenaan berpotensi membuka lebih banyak ruang kepada wanita Dayak untuk terlibat dalam politik, korporat, perkhidmatan awam, NGO, komuniti dan pelbagai sektor lain.

Seramai 43 peserta menyertai Perantis PTS 062 daripada pelbagai latar belakang, termasuk Ketua Kaum, Ketua Masyarakat, Ahli Majlis, penglibat politik, guru, jururawat, pegawai kerajaan serta pemimpin NGO dan komuniti.

Peserta turut merangkumi wanita dengan pencapaian dalam pelbagai bidang, termasuk juruterbang helikopter komersial wanita pertama di Malaysia dan Miss Grand Malaysia.

Kesemua peserta datang dari pelbagai kawasan di Sarawak, antaranya Kuching, Sri Aman, Sibu dan Ba’Kelalan. -TVS

Read Entire Article