Perkukuh integriti, tadbir urus ekosistem sukan

59 minutes ago 6
ADVERTISE HERE

KUCHING, 23 Sept: Sarawak komited memperkukuh tadbir urus dan integriti dalam ekosistem sukan menerusi penganjuran Persidangan Integriti Sukan Kebangsaan Sarawak (SNSIC) 2026 yang berlangsung dari 28 hingga 30 September ini di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata aspek integriti dalam pengurusan sukan penting bagi memastikan pembangunan sektor itu berlangsung secara telus, adil dan bebas daripada salah laku.

Beliau berkata, sukan bukan hanya berkaitan pencapaian atlet di padang dan gelanggang, malah mempunyai kaitan rapat dengan pembangunan ekonomi, pelancongan, infrastruktur serta perpaduan masyarakat.

“Sarawak komited menunjukkan kepada dunia bahawa selain mampu menjadi tuan rumah yang baik dan memastikan atlet mengambil bahagian dalam suasana pertandingan yang sihat, aspek tadbir urus sukan turut diberi perhatian.

“Ini bagi memastikan segala urusan berjalan teratur tanpa berlakunya manipulasi pertandingan, penyalahgunaan bahan terlarang atau sebarang salah laku, sekali gus menetapkan tanda aras baharu dalam pengurusan sukan berteraskan integriti dan ketelusan,” katanya pada sidang media SNSIC 2026 di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, SNSIC 2026 yang bertemakan “Memperkukuh Sistem, Memelihara Semangat: Memartabatkan Piawaian Integriti Sukan Global” dijangka menghimpunkan antara 400 hingga 500 delegasi pada hari pertama persidangan.

Katanya, persidangan itu turut membabitkan penglibatan agensi dan badan berkaitan, termasuk Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta organisasi sukan antarabangsa.

Beliau berkata, bengkel teknikal yang berlangsung pada 29 dan 30 September pula dijangka disertai kira-kira 100 peserta terdiri daripada pegawai awam, pengamal undang-undang, penguat kuasa serta pentadbir persatuan sukan.

“Bengkel ini akan memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran berkaitan perolehan awam, pengesanan pertaruhan haram dan pengendalian kes manipulasi pertandingan,” katanya.

Abdul Karim berkata, SNSIC 2026 diharapkan bukan sekadar menjadi platform perbincangan, sebaliknya menjadi titik tolak kepada perubahan budaya dalam pengurusan sukan dengan menjadikan integriti sebagai amalan.

“Usaha ini penting bagi menyokong pembentukan atlet, organisasi dan masyarakat yang lebih beramanah, adil serta berdaya tahan,” katanya.

Read Entire Article