ADVERTISE HERE
BETONG, 26 Sept: Sektor pertanian dilihat mampu menjadi pemacu utama ekonomi luar bandar termasuk di Betong, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, dengan memanfaatkan keluasan tanah dan penggunaan teknologi moden, ia secara tidak langsung akan memperkukuh sekuriti makanan.
Malah menurutnya, Betong mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai hab pertanian moden menerusi penggunaan teknologi baharu termasuk konsep rumah hijau dan taman agro.
“Pembangunan sektor ini bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan pasaran tempatan, malah berpotensi diperluaskan ke pasaran luar Sarawak termasuk Singapura dan Jakarta.
“Kita ada tanah dan sebab itu kita membina lapangan terbang (STOLport) Bebuling dan taman agro. Kita perlu menggunakan teknologi baharu seperti rumah hijau untuk membangunkan sektor pertanian.
“Kita mahu menghasilkan makanan yang berkhasiat, kurang penggunaan bahan kimia dan mengutamakan kaedah organik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sarawakku Sayang Bahagian Betong di sini, hari ini.
Abang Johari menjeladkan, kemudahan STOLport Bebuling turut memberi kelebihan kepada Betong dalam usaha memperluaskan pasaran produk pertanian dengan memudahkan urusan pengangkutan hasil ke destinasi lain.
Menurutnya, pembangunan pertanian termasuk penanaman padi juga mempunyai potensi besar untuk menjana pendapatan baharu kepada masyarakat setempat.
Katanya, jika pengeluaran beras dapat dipertingkatkan sehingga mampu menembusi pasaran luar, ia bukan sahaja dapat memperkukuh sekuriti makanan, malah meningkatkan pendapatan penduduk.
“Kita jangan hanya melihat pasaran di Betong. Kita perlu melihat pasaran yang lebih luas, termasuk Singapura dan seterusnya Jakarta serta pasaran Asia.
“Dengan menggabungkan potensi Betong dan kawasan berdekatan seperti Sri Aman, kita boleh memperluaskan sektor pertanian dan memasuki pasaran Asia,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kemudahan berkaitan sektor pertanian akan terus dinaik taraf bagi menyokong pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat pada masa hadapan.
Beliau menambah, kejayaan usaha berkenaan turut bergantung kepada penglibatan masyarakat Betong dalam merebut peluang yang tersedia.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.-TVS

4 days ago
21








English (US) ·