Pesuruhjaya Polis Sarawak dilantik Pengarah Pengurusan PDRM

1 hour ago 7
ADVERTISE HERE

KUCHING, 15 Sept: Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.

Pelantikan itu menyaksikan Mohamad Zainal, 48, mengambil alih jawatan berkenaan daripada Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid yang kini dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa 9 September lepas.

PDRM Kontinjen Sarawak dalam hantaran di Facebook semalam merakamkan tahniah atas pelantikan berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu pengiktirafan terhadap kepimpinan serta pengalaman luas Mohamad Zainal dalam perkhidmatan kepolisan.

“Sepanjang menerajui PDRM Kontinjen Sarawak, kepimpinan beliau sentiasa berteraskan integriti, profesionalisme, kebajikan warga pasukan serta keutamaan terhadap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

“Segala jasa, sumbangan dan kepimpinan yang dicurahkan pastinya menjadi sebahagian daripada kenangan serta legasi yang amat dihargai oleh seluruh warga PDRM Sarawak,” menurut hantaran itu.

Mohamad Zainal mula bertugas sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak pada 26 September tahun lalu, selepas sebelum ini memegang beberapa jawatan kanan termasuk Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Siasatan/Perundangan Bukit Aman dan Ketua Penolong Pengarah D5 Pendakwaan/Undang-Undang JSJ Bukit Aman.

Beliau turut pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Daerah (KPD) Dang Wangi dan KPD Perak Tengah, selain mempunyai latar belakang akademik dalam bidang undang-undang, sumber manusia serta pentadbiran dan keadilan.

Pelantikan itu turut menjadikan Mohamad Zainal antara pengarah termuda dalam kepimpinan tertinggi PDRM.

PDRM Sarawak turut berharap agar beliau memimpin dengan penuh integriti, berpegang teguh kepada prinsip profesionalisme dan menjunjung amanah perkhidmatan demi memperkukuh kecemerlangan PDRM serta memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan. – TVS

Read Entire Article