Petronas, Kerajaan Sarawak mahu petisyen berkaitan minyak dan gas didengar berasingan

10 hours ago 8
ADVERTISE HERE

PUTRAJAYA, 24 Sept: Petroliam National Bhd (Petronas) dan Kerajaan Negeri Sarawak memohon supaya petisyen masing-masing yang mencabar undang-undang negeri dan Persekutuan berkaitan minyak dan gas didengar secara berasingan oleh Mahkamah Persekutuan.

Perkara itu dimaklumkan kepada Hakim Mahkamah Persekutuan Rhodzariah Bujang pada prosiding saman untuk arahan, hari ini.

Peguam Petronas Datuk Dr Cyrus Das memberitahu mahkamah bahawa Kerajaan Negeri Sarawak telah mengambil pendirian supaya dua petisyen itu tidak digabungkan.

Bagaimanapun, beliau berkata Kerajaan Negeri Sarawak mencadangkan supaya kes mereka didengar dahulu, diikuti dengan petisyen Petronas.

Das berkata Petronas, bagaimanapun, mahu petisyennya didengar terlebih dahulu, mengikut turutan tarikh pemfailan petisyen masing-masing.

Peguam itu berkata Petronas memfailkan petisyen pada 10 Jan lepas dan memperoleh kebenaran di bawah Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan pada 16 Mac, manakala kerajaan negeri memfailkan petisyen pada 23 Feb.

Beliau berkata cabaran Petronas membabitkan undang-undang negeri Sarawak, manakala petisyen Kerajaan Negeri Sarawak melibatkan undang-undang Persekutuan.

“Melainkan terdapat alasan kukuh daripada pihak Sarawak mengapa mereka perlu didengar dahulu, saya berpandangan kita mengikut turutan pemfailan petisyen,” katanya.

Sementara itu, kerajaan Sarawak juga mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan terlebih dahulu isu awal berkaitan perintah era kolonial – Perintah dalam Majlis (Perubahan Sempadan) Sarawak 1954 – yang berkaitan dengan sempadan Sarawak dan Sabah.

Hakim Rhodzariah kemudian menetapkan 1 Okt ini bagi pengurusan kes untuk menentukan turutan pendengaran petisyen, dan perkara berkaitan isu bantahan awal Kerajaan Negeri Sarawak. Pendengaran petisyen itu dijadualkan sementara pada akhir Januari tahun depan.

Pada 16 Mac lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan syarikat minyak dan gas negara itu untuk memulakan prosiding bagi mencabar keupayaan legislatif Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak menggubal undang-undang tertentu dan memohon pengisytiharan beberapa undang-undang yang digubal oleh DUN itu sebagai tidak sah.

Petronas mendakwa DUN Sarawak tidak mempunyai keupayaan untuk menggubal, mengubah, meminda atau menyemak undang-undang berkaitan perkara di bawah Senarai 1, Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, kerajaan negeri memfailkan petisyen terhadap kerajaan Malaysia dan Petronas, memohon Mahkamah Persekutuan untuk menentukan keabsahan dari segi Perlembagaan dan pemakaian berterusan beberapa akta Persekutuan di Sarawak.

Kerajaan negeri mencabar tiga undang-undang Persekutuan berkaitan petroleum, iaitu Akta Kemajuan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966.

Pada prosiding hari ini, selain Das, Petronas juga diwakili oleh Khoo Guan Huat, Datuk Azian Abd Aziz, Grace Teoh Wei Shan, Ahmad Faiz Razali, Khoo Yuan Ping dan Alex Ngu, manakala Kerajaan Negeri Sarawak diwakili oleh Peguam Kanan negeri Mohd Adzrul Adzlan, peguam Sarawak Richard Tie Sing Wan dan Felicity Sharmela Thomas.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi dan peguam Persekutuan Imtiyaz Wizni Aufa pula mewakili Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Mohd Adzrul memberitahu pemberita bahawa kerajaan negeri mahu isu awal berkaitan Perintah dalam Majlis (Perubahan Sempadan) Sarawak 1954 didengar terlebih dahulu kerana kerajaan negeri berpendapat perkara itu tidak berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan. -TVS

Read Entire Article