PM Anwar terima kunjungan hormat delegasi Amazon Web Services, Masdar

6 months ago 73
ADVERTISE HERE

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat berasingan daripada delegasi syarikat Amazon Web Services (AWS) dan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar) di pejabat beliau di Putrajaya bagi membincangkan perancangan pelaburan dua syarikat itu di Malaysia.

Menerusi hantaran di laman X rasmi beliau, Anwar berkata delegasi AWS diketuai oleh Naib Presiden Dasar Awam Global AWS Michael Punke.

“Dalam pertemuan ini saya dimaklumkan mengenai status kemajuan pelaburan AWS di Malaysia yang diumumkan pada tahun lepas yang berjumlah RM25.5 bilion bagi tempoh 15 tahun bermula 2023,” kata beliau.

Memperincikan selanjutnya, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pelaburan berkenaan antara lainnya melibatkan pembangunan pusat data di Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur yang berjalan mengikut perancangan.

Malah, Perdana Menteri berkata Malaysia mengalu-alukan pelaburan dan kerjasama strategik AWS dalam menyokong ekosistem transformasi digital terkini seperti pengkomputeran awan, Internet Kebendaan (IoT), 5G dan generatif kecerdasan buatan (AI).

Aspek itu penting dalam memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam arus perdana kemajuan teknologi terkini dan setanding dengan negara-negara maju lain, kata beliau.

Mengulas kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Masdar Mohamed Jameel Al Ramahi dan delegasi yang turut disertai Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia Dr Mubarak Saeed Ahmed Burshaid AlDhaheri, Perdana Menteri berkata syarikat tenaga bersih itu memaklumkan kemajuan berkaitan cadangan pelaburan di beberapa negeri dengan rakan perniagaan tempatan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Perkongsian dan pelaburan strategik seperti ini adalah penting bagi mencetus anjakan kepada ekosistem infrastruktur tenaga Malaysia dan selari dengan matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang sedang giat dilaksanakan,“ kata Anwar.

Perdana Menteri juga berharap agar kedua-dua pertemuan itu dapat membuka lebih banyak peluang serta ruang pelaburan, menambah pekerjaan dan lonjakan ekonomi selain situasi yang saling menguntungkan bagi semua pihak terbabit.

Read Entire Article