ADVERTISE HERE
KUCHING, 14 Sept: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh berhubung nahas helikopter di Long Lellang termasuk meneliti lokasi terakhir helikopter berkenaan mengisi minyak dan keseluruhan kronologi penerbangannya.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya masih merakam keterangan saksi termasuk di lokasi helikopter terbabit mengisi minyak bagi mendapatkan maklumat yang boleh membantu siasatan.
“Semua perkara daripada mula penerbangan sehingga kejadian berlaku akan kita teliti termasuk kronologi penerbangan dan tempat-tempat yang mereka pergi bagi membantu siasatan ini,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Makan Malam Mesra Bersama CP Sarawak.
Menurutnya, seramai 19 individu dipanggil untuk memberikan keterangan setakat ini, manakala beberapa lagi saksi mungkin akan dipanggil jika diperlukan.
Mohamad Zainal berkata, semua aspek berkaitan nahas turut diteliti bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh.
“Setakat ini tidak ada apa-apa petunjuk yang menunjukkan ada unsur-unsur selain daripada kemalangan. Tetapi walau bagaimanapun, tetap kita menjalankan siasatan secara menyeluruh kerana itu prosedur biasa kita,” ujarnya.
Katanya, tempoh siasatan bergantung kepada jumlah keterangan yang perlu dirakam dan lokasi yang masih perlu dikunjungi semula.
“Walau bagaimanapun, kita akan menyiapkannya secepat yang mungkin kerana ini bukan insiden pertama yang kita siasat. Jadi kita sudah mempunyai pengalaman, insya-Allah kita akan buat yang terbaik,” jelasnya.
Mengulas kemungkinan helikopter berkenaan sempat melakukan pendaratan, Mohamad Zainal berkata, pihaknya percaya juruterbang telah berusaha sedaya upaya untuk mendaratkan helikopter tersebut.
“Saya percaya kapten tersebut ataupun juruterbang tersebut sudah sedaya upaya untuk mendaratkan helikopter tersebut sebab itu dia betul-betul berada di hujung landasan,” katanya.-TVS

1 hour ago
6








English (US) ·