ADVERTISE HERE
KUCHING, 22 Okt: Pondok pau di tepi Jalan Datuk Tawi Sli yang wujud sejak tahun 1992 kekal menjadi tumpuan warga Kuching untuk menghilangkan rasa lapar dan dahaga.
Diusahakan oleh dua beradik, pondok mudah alih tersebut dengan pelbagai jenis pau mula dibuka sekitar jam 2.30 petang.
Kebiasaannya ia akan ditutup pada jam 6 petang, atau lebih awal jika pau telah habis dijual.
“Kita akan mula membuat pau, pelbagai jenis pau seawal jam 4 pagi.
“Ia adalah resepi yang dipelajari dari adik kepada emak saya, dan sejak 32 tahun yang lepas kita telah menjual pau di tepi jalan ini,” kata salah seorang peniaga.
Selain untuk dibawa balik, disediakan juga tiga buah meja untuk pelanggan menikmati terus pau kegemaran masing-masing yang disertakan dengan minuman air soya segar.
Ada juga pelanggan memilih untuk menikmatinya di dalam kereta sebelum meneruskan perjalanan atau kembali bekerja.
Namun tambah peniaga itu lagi, kebelakangan ini jumlah pelanggannya sudah berkurangan.
Menurut beliau, perniagaan mereka berdua kini berkurangan sekitar 40 peratus jika dibandingkan dengan 10 tahun yang lalu.
“Kini kita hanya menyediakan sekitar 200 ke 300 biji pau sehari.
“Pelanggan sudah berkurang, mungkin disebabkan ada pelbagai jenis makanan lain di sekitar Kuching ini,” ujar beliau.
Pondok mudah alih kedua-dua beradik ini menjual bak pau, chicken pau, char siew pau, pau sayur, pau kacang dan sio bee. — DayakDaily