ADVERTISE HERE
LAWAS, 14 Sept: Kemudahan kesihatan di Sarawak perlu diberi perhatian serius dan menjadi keutamaan Kerajaan Persekutuan, malah masalah melibatkan kelewatan projek terdahulu juga amat dikesali dan memberi kesan kepada harapan rakyat.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pihak pelaksana di peringkat persekutuan perlu memahami isu geografi dan cabaran di Sarawak yang besar sebelum melaksanakan projek kemudahan kesihatan.
“Bagi kita kelewatan dari segi pelaksanaan projek ia berkait rapat dengan integriti kerana ia melibatkan kos. Kelewatan pelaksanaan projek-projek menyebabkan rakyat kita tidak mendapat manfaat yang sepatutnya dari kemudahan-kemudahan dan perkhidmatan ini.
“Bagi saya dalam kita mempertingkatkan kemudahan kesihatan kita di Sarawak keperluannya juga berbeza seperti di Lawas, Kapit, Long Lama, Ba’kelalan, Long Semadoh dan Bario,” katanya kepada media selepas Majlis penyerahan Projek Hospital Lawas daripada Kementerian Kerja Raya Malaysia kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bangunan Hospital Baru Lawas hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Hanifah Hajar Taib dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.
Beliau mahu agar kemudahan kesihatan di Sarawak ini terus diberi perhatian secara khusus dan bukan sekadar kajian atas kertas di Putrajaya semata-mata.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukti Sari itu mahu Hospital Lawas dirancang untuk dinaik taraf sebagai hospital pakar pada masa hadapan, selari kedudukannya yang strategik di utara Sarawak bagi memastikan penduduk di kawasan berkenaan mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih moden dan berteknologi tinggi.
Katanya aspirasi menjadikan Hospital Lawas sebagai hospital pakar pada masa hadapan turut disokong keperluan memperkukuh infrastruktur digital dan melengkapi hospital dengan peralatan yang sesuai.
“Pendekatan teleperubatan juga dilihat mampu memudahkan khidmat konsultasi secara dalam talian, sekaligus mengurangkan keperluan pesakit untuk dirujuk ke fasiliti lain.
“Kita harus rancang supaya ia mungkin satu hari boleh dijadikan sebagai hospital pakar, kedudukan Lawas yang jauh daripada bahagian lain di Sarawak menjadikan peningkatan kapasiti perkhidmatan kesihatan satu keperluan penting,” ujarnya.
Katanya, kedudukannya yang strategik, berhampiran Brunei, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan turut dilihat mampu menyokong hasrat menjadikan Lawas sebagai pusat perkhidmatan kesihatan moden di rantau ini. -TVS

3 hours ago
5








English (US) ·