Premier Sarawak befikiran jauh, rancang pembangunan menyeluruh – Uggah

4 days ago 26
ADVERTISE HERE

BETONG, 26 Sept: Keputusan membangunkan Lapangan Terbang Bebuling atau STOLport di Bahagian Betong mencerminkan pemikiran jauh dan keberanian Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam merancang pembangunan negeri secara menyeluruh.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembangunan STOLport itu bukan sebuah projek yang berdiri sendiri, sebaliknya disokong pelbagai program pembangunan bagi merancakkan kegiatan ekonomi di Betong.

Menurutnya, ketika projek berkenaan mula diumumkan, potensi sebenar STOLport mungkin belum dapat dilihat sepenuhnya, namun perancangan pembangunan yang dilaksanakan kini memperlihatkan hala tuju yang semakin jelas.

“Premier Sarawak memang fikirannya cukup mantap sekali. Mempunyai misi, berani, dia fikir jauh.

“Apabila beliau mengumumkan kelulusan lapangan terbang untuk Spaoh, pada mulanya saya sendiri tertanya-tanya. Tetapi hari ini, ia cukup jelas kerana bukan hanya lapangan terbang, malah pelbagai program pembangunan turut disusun untuk menyokong pembangunan lapangan terbang ini,” katanya.

Uggah berkata, antara pembangunan berkaitan ialah sektor pertanian menerusi dua agropark di Bahagian Betong, termasuk Agropark Bebuling yang meliputi kawasan seluas kira-kira 600 ekar.

Sebuah lagi agropark terletak di Lubok Tamang, manakala Pihak Berkuasa Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) turut membangunkan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) bagi menyokong pengeluaran hasil pertanian di bahagian itu.

Selain itu, katanya, dua CPPC turut terdapat di Spaoh dan Simpang Layar, sekali gus membentuk rantaian sokongan kepada sektor pertanian dan kegiatan ekonomi tempatan.

Beliau berkata, pembangunan infrastruktur tersebut bukan sahaja bertujuan memudahkan pergerakan barangan, malah membuka ruang lebih luas kepada sektor pelancongan.

Menurut Uggah, Betong mempunyai pelbagai tarikan yang boleh diketengahkan, termasuk pembangunan replika kubu pahlawan Iban, Rentap, yang berpotensi menjadi produk pelancongan berasaskan sejarah dan warisan.

Pada masa sama, Uggah menyifatkan peningkatan hasil negeri sebagai antara faktor yang membolehkan lebih banyak program pembangunan dilaksanakan untuk manfaat rakyat.

“Kita ada seorang pemimpin yang ada visi, ada pengalaman, ada kekuatan dan pandai mencari dana.

“Pada 2016, hasil negeri sekitar RM5.6 bilion dan pada 2024, RM14.2 bilion. Pendapatan kita meningkat dan dengan peningkatan pendapatan inilah digunakan untuk menjalankan program-program yang ada di sini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sarawak khususnya masyarakat di Bahagian Betong supaya terus bersatu padu dalam memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan.

Uggah berkata, pelbagai projek yang dilaksanakan menunjukkan pembangunan Betong dirancang sebagai satu ekosistem yang menghubungkan infrastruktur pengangkutan, pertanian, pemprosesan hasil serta pelancongan bagi merancakkan ekonomi setempat. – TVS

Read Entire Article