ADVERTISE HERE
KUCHING, 14 Sept: Punca kematian ratusan ikan yang timbul di sekitar Tebingan Sungai Sarawak, khususnya di perairan Kampung Boyan dan Kampung Gersik masih belum dapat dikenal pasti.
Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Dr Safiee Ahmad berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bersama Jabatan Pertanian Sarawak (Bahagian Perikanan Darat) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB).
Menurut beliau, pemeriksaan awal dilakukan di beberapa lokasi terjejas merangkumi Kampung Boyan, Kampung Gersik, Bintawa Industrial Estate hingga ke kawasan bendungan atau barrage menggunakan bot Penguatkuasa LSS.
“Berdasarkan pemeriksaan awal, Jabatan Pertanian Sarawak (Bahagian Perikanan Darat) dan NREB telah membuat pemeriksaan terhadap beberapa parameter kualiti air, khususnya oksigen terlarut (O₂) dan ammonia (NH₃), bagi mendapatkan petunjuk awal terhadap kemungkinan perubahan kualiti air.
“Bagaimanapun, punca sebenar kematian ikan masih belum dapat dikenal pasti dan keputusan analisis makmal masih ditunggu,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Menjelas lanjut, katanya, sampel ikan yang mati serta sampel air telah diambil oleh Jabatan Pertanian Sarawak (Bahagian Perikanan Darat) dan NREB pada 12 dan 14 September lalu.
“Sampel berkenaan diambil di empat lokasi iaitu Kampung Boyan, Kampung Gersik, Bintawa Industrial Estate dan kawasan bendungan, sebelum dihantar ke makmal untuk analisis lanjut.
“Siasatan di lapangan itu melibatkan lima anggota Penguatkuasa LSS, tiga anggota Jabatan Pertanian Sarawak (Bahagian Perikanan Darat) serta tiga anggota Penguatkuasa NREB,” ujarnya.
Safiee berkata, keputusan analisis makmal berkaitan kualiti air dan punca kematian ikan akan menjadi rujukan penting bagi menentukan tindakan susulan, sebarang penemuan lanjut akan dimaklumkan selepas keputusan analisis makmal diterima. – TVS

3 hours ago
9








English (US) ·