ADVERTISE HERE
KUCHING, 27 Sept: Reformasi subsidi petrol perlu mengambil kira realiti kehidupan rakyat di Sabah dan Sarawak yang masih bergantung kepada kenderaan persendirian berikutan keterbatasan pengangkutan awam serta faktor jarak perjalanan.
Penganalisis Ekonomi, Dr Dzul Hadzwan Husaini berkata, keperluan petrol di kedua-dua negeri itu berbeza berbanding kawasan yang mempunyai sistem pengangkutan awam yang lebih menyeluruh.
“Keperluan terhadap petrol di Sabah dan Sarawak adalah tinggi kerana kedua-dua negeri masih berdepan keterbatasan dari segi infrastruktur dan perkhidmatan pengangkutan awam yang berkesan,” katanya ketika ditemui TVS.
Menurut beliau, petrol merupakan keperluan penting bagi rakyat yang perlu melakukan perjalanan jauh untuk ke tempat kerja atau menguruskan urusan harian.
Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian dalam sebarang usaha kerajaan untuk memperhalusi atau menyasarkan semula pemberian subsidi petrol.
Beliau berkata, penetapan had penggunaan subsidi yang sama bagi semua golongan tidak semestinya mencerminkan keperluan sebenar rakyat di lapangan.
Sebagai contoh, katanya, golongan berpendapatan rendah yang tinggal jauh dari tempat kerja mungkin memerlukan penggunaan petrol yang lebih tinggi berbanding individu lain dalam kategori pendapatan yang sama.
“Bagi mereka yang tinggal jauh dari tempat kerja, penggunaan pengangkutan awam mungkin bukan pilihan yang praktikal. Jika perjalanan menggunakan bas mengambil masa yang panjang, keadaan itu boleh menyukarkan mereka untuk tiba di tempat kerja pada waktu yang ditetapkan,” ujarnya.
Dzul Hadzwan berkata, keadaan geografi serta keterbatasan jaringan pengangkutan awam menyebabkan kenderaan persendirian menjadi sebahagian daripada keperluan harian rakyat di Sabah dan Sarawak.
Beliau turut mengingatkan bahawa reformasi subsidi perlu mengambil kira perbezaan keadaan antara negeri bagi memastikan mekanisme yang diperkenalkan tidak menjejaskan golongan yang benar-benar memerlukan.
Katanya, pendekatan subsidi bersasar sememangnya penting, namun pelaksanaannya memerlukan data dan maklumat yang tepat mengenai keperluan sebenar rakyat.
Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat turut boleh memainkan peranan dengan menggunakan subsidi secara berhemat bagi membantu mengurangkan tekanan terhadap kewangan kerajaan.
Menurutnya, pengurusan subsidi perlu dilihat sebagai usaha bersama antara kerajaan dan rakyat bagi memastikan bantuan yang disediakan dapat dikekalkan dalam jangka panjang. -TVS

6 hours ago
9








English (US) ·