ADVERTISE HERE
KUCHING, 27 Sept: Ikrar kepada Kod Etika Profesional Awal Kanak-Kanak menjadi antara hasil penting Konvensyen Prasekolah Antarabangsa Sarawak (SPIC2026) sebagai komitmen semua pihak dalam memastikan tanggungjawab terhadap kanak-kanak dilaksanakan dengan integriti, adil, belas kasihan dan profesionalisme.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ikrar berkenaan merupakan janji kepada kanak-kanak dan keluarga yang meletakkan kepercayaan kepada kerajaan, agensi kerajaan serta pengendali TASKA dan tadika berdaftar.
Menurutnya, komitmen itu selari dengan tema SPIC2026, ‘Kanak-Kanak Penting’, yang menekankan tanggungjawab memastikan keselamatan kanak-kanak tidak dikompromi, maruah dihormati, suara didengari dan keperluan individu diiktiraf.
“Etika profesional perlu diterjemahkan dalam tindakan seharian termasuk ketika berkomunikasi dengan kanak-kanak dan ibu bapa, menangani tingkah laku mencabar, melindungi maklumat sulit serta memberi sokongan kepada kanak-kanak yang memerlukan perhatian tambahan.
“Kanak-kanak ini mungkin tidak boleh bercakap apabila ada sesuatu yang tidak kena atau apabila mereka memerlukan sesuatu. Oleh itu, kita sebagai orang dewasa mestilah prihatin, bertanggungjawab dan layak menerima amanah itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Konvensyen Prasekolah Antarabangsa Sarawak 2026 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fatimah berkata, penganjuran SPIC2026 selama tiga hari itu memberi peluang kepada penggiat pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak meningkatkan pengetahuan, motivasi serta mempelbagaikan pendekatan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Perkongsian kepakaran daripada pakar luar negara turut boleh dijadikan penanda aras dalam melaksanakan Kerangka Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak (ECCE) Sarawak.
“Kita menyeru warga pendidik supaya mempelajari dan mengguna pakai pendekatan yang dikongsikan penerima Anugerah Guru Inklusif sepanjang konvensyen dengan menyesuaikannya mengikut keperluan bilik darjah masing-masing,” ujarnya.
SPIC2026 yang berlangsung dari 25 hingga 27 September di Hotel Waterfront Kuching menghimpunkan 350 peserta secara fizikal, termasuk dari Singapura dan Jepun, manakala 1,302 peserta lain mengikuti konvensyen secara dalam talian.-TVS

6 hours ago
9








English (US) ·