RM1 juta sokong kecemerlangan pendidikan Tanjong Manis

58 minutes ago 5
ADVERTISE HERE

SARIKEI, 19 Sept: Peruntukan hampir RM1 juta dalam bentuk insentif pendidikan disediakan bagi menyokong kecemerlangan pelajar di Parlimen Tanjong Manis, sekali gus menyuntik motivasi generasi muda untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam pendidikan.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, inisiatif berkenaan termasuk penyaluran insentif kepada 121 pelajar dari Sarikei yang menunjukkan pencapaian membanggakan dalam pelajaran.

“Saya memandang serius perkara ini (pendidikan), kerana ilmulah senjata terbaik untuk mengubah hidup dan masa depan yang lebih terjamin.

“Sehubungan itu, saya berharap semua pelajar di kawasan ini (Parlimen Tanjong Manis), memanfaatkan sepenuhnya insentif yang disediakan dengan belajar bersungguh-sungguh,” katanya pada Majlis Penutupan Program Mansang Anak Sarawak Zon Sarikei 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sarikei Baru, hari ini.

Yusuf berkata, usaha memperkukuh kecemerlangan pendidikan turut dilengkapi dengan pelaksanaan modul berkaitan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta perancangan selepas SPM sepanjang program tiga hari berkenaan.

“Sebagai wakil rakyat, saya memahami cabaran pelajar, khususnya dalam membina minat terhadap STEM, selain persoalan mengenai hala tuju selepas menduduki peperiksaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menggesa aspek pembangunan insan terus diberi perhatian dengan memastikan golongan muda mendapat kemahiran dan pengalaman.

“Daripada 10 sukarelawan muda yang menggerakkan program ini saya difahamkan, sembilan daripadanya anak tempatan Sarikei. Ini menunjukkan belia tempatan bukan sahaja menerima manfaat, malah turut diberi ruang untuk memimpin dan menjayakan program,” katanya.

Dalam pada itu, Yusuf merakamkan penghargaan kepada Persatuan Sukarelawan Sarawak (Sarawak Volunteers), Nyambung Blaja, PETROS, TEGAS, CENTEX dan Institut Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan Alam Sekitar (IBEC), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) atas kerjasama menjayakan program berkenaan.

Beliau berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menyokong usaha meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan pembangunan generasi muda di kawasan berkenaan.  – TVS

Read Entire Article