ADVERTISE HERE
TATAU, 21 Sept: Kementerian Kerja Raya memperuntukkan RM119 juta bagi melaksanakan projek menaik taraf jajaran Redline Lebuhraya Pan Borneo Sarawak (short stretch) sepanjang 17.1 kilometer.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerja naik taraf itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh 16 bulan, namun kontraktor disasarkan menyiapkannya lebih awal.
Menurutnya, projek berkenaan melibatkan kerja menaik taraf struktur turapan jalan di sembilan lokasi membabitkan Lachau, Selangau, Balingian, Kemena, Sebiew dan Tudan.
“Kontraktor, DAL-HCM Sdn. Bhd. menerima milik tapak secara rasmi pada 17 September lalu, dengan tarikh sasaran siap pada awal 2028.
“Keseluruhannya, Short Stretch ini kita mempunyai peruntukan sebanyak RM119 juta. Kerja-kerja ini dilaksanakan bagi mempercepatkan proses naik taraf.
“Kita mahu kontraktor menyelesaikan kerja-kerja Short Stretch ini lebih awal daripada tempoh 16 bulan,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan projek itu akan dipantau bersama oleh Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya Sarawak bagi memastikan kerja berjalan mengikut jadual.
Dalam perkembangan berkaitan, Nanta menjelaskan, jajaran Redline sepanjang kira-kira 136 kilometer dibahagikan kepada short stretch dan long stretch bagi memudahkan pelaksanaan serta pemantauan projek.
Daripada jumlah itu, kira-kira 17 kilometer merupakan short stretch, manakala lebih 119 kilometer lagi dikategorikan sebagai long stretch.
Katanya, jajaran Redline merupakan laluan yang tidak dinaik taraf sepenuhnya ketika pelaksanaan awal Projek Lebuhraya Pan Borneo.
Beliau berkata, kerja naik taraf berkenaan penting bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya di Sarawak terus diberi keutamaan.-TVS

1 hour ago
6








English (US) ·