ADVERTISE HERE
SIBU, 21 Sept: Sebuah rumah pekerja di Lorong 13B, Bumi Indah Satria Timur di sini, musnah hampir keseluruhannya dalam kebakaran malam tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.13 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah tiba di lokasi kira-kira jam 8.29 malam.
“Setibanya pasukan bomba, kebakaran didapati melibatkan sebuah rumah pekerja berkeluasan kira-kira 60 x 20 kaki yang terletak di kawasan sebalik bukit.
“Kebakaran dianggarkan memusnahkan kira-kira 98 peratus struktur rumah berkenaan,” kata kenyataan itu.
Komander Operasi PBK I Imran Ahmad mengarahkan anggota memakai Pakaian Operasi Lengkap serta menggunakan Alat Pernafasan (BA) sebelum kerja pemadaman dijalankan.
Satu aliran air dibentangkan dari jentera menggunakan kira-kira 300 kaki hos, satu breeching dan dua nozel yang ditempatkan di bahagian kiri serta kanan bangunan. Bekalan air diperoleh daripada pili bomba berhampiran.
Pasukan turut menjalankan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada lagi bara api atau punca yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.
Operasi disertai 13 anggota BBP Sungai Merah menggunakan sebuah FRT, sebuah CFRT dan sebuah EMRS sebelum operasi ditamatkan selepas api disahkan padam sepenuhnya.-TVS

1 day ago
9








English (US) ·