ADVERTISE HERE
KUCHING, 22 Sept: Malaysia dan Sweden meneroka potensi kerjasama dalam sektor kesihatan menerusi perkongsian kepakaran, pengalaman serta amalan terbaik antara kedua-dua negara.
Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Hanifah Hajar Taib menerima kunjungan hormat delegasi Kedutaan Sweden ke Malaysia yang diketuai Deputy Head of Mission, Mr Sebastian Magnusson hari ini.
Menurutnya, pertemuan itu menjadi platform bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pelbagai aspek dalam sektor kesihatan, termasuk kepakaran berkaitan peralatan dan teknologi perubatan serta fasiliti kesihatan.
“Perbincangan turut menyentuh potensi kerjasama dalam bidang kesihatan, khususnya melalui perkongsian kepakaran, pengalaman dan amalan terbaik antara Malaysia dan Sweden.
“Kedua-dua pihak turut membincangkan peluang kerjasama strategik yang boleh dibangunkan secara bersama dengan mengambil kira keperluan semasa sektor kesihatan,” katanya.
Katanya, perkongsian teknologi dan kepakaran turut dilihat berpotensi membantu meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.
“Setiap cadangan dan perancangan yang dibincangkan perlu diterjemahkan menerusi pendekatan yang praktikal, berkesan dan mampan.
“Setiap bentuk kerjasama yang dilaksanakan perlu memberi manfaat sebenar kepada masyarakat serta menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan rakyat,” ujarnya. -TVS

43 minutes ago
5








English (US) ·