ADVERTISE HERE
BANGKOK, 14 Sept: Sarawak bakal menerima pelaburan dianggarkan AS$1 bilion bagi membangunkan produk hiliran berasaskan gas, sekali gus memperkukuh industri petrokimia rendah karbon di Bintulu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pelaburan itu melibatkan Indorama Ventures Public Company Limited bersama dua syarikat dari Jepun, Sakura dan HighChem.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan bersama pihak pelabur berkenaan sempena lawatan rasminya ke Thailand.
“Saya berbincang dan bertemu dengan seorang pelabur, syarikat yang akan melabur di Sarawak, iaitu Indorama Venture bersama dengan syarikat dari Jepun, Sakura dan HighChem.
“Syarikat ini akan membangunkan produk hiliran daripada gas dan pelaburannya dijangka menjangkau AS$1 bilion,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri GASTECH 2026 di sini pada Isnin.
Menurut Abang Johari, pelaburan berkenaan akan membolehkan Sarawak memanfaatkan sumber gas secara lebih optimum bagi menghasilkan produk bernilai tambah, selain mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Sudah tentu pelaburan ini akan menjadi satu usaha untuk kita menggunakan gas kita bagi mewujudkan pekerjaan yang tinggi dan juga akan membantu dalam kita merealisasikan industri petrokimia rendah karbon di kawasan Bintulu,” katanya.
Beliau berkata perbincangan lebih terperinci akan diadakan antara Indorama Ventures dan Sarawak Petchem bagi menyusun serta membangunkan usaha berkenaan.
“Perbincangan terperinci akan dilaksanakan di antara pihak Indorama dengan Sarawak Petchem untuk menyusun dan membangunkan usaha tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata satu lagi pertemuan berkaitan pelaburan berkenaan dijangka diadakan pada Oktober di sebuah persidangan di Bangkok.
Katanya, delegasi Sarawak pada persidangan itu akan diketuai Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, bersama Sarawak Petchem.
Pelaburan berkenaan dilihat selari dengan usaha Sarawak memperluas rantaian nilai industri minyak dan gas, khususnya menerusi pembangunan produk petrokimia hiliran serta peralihan kepada industri rendah karbon. — TVS

6 hours ago
9








English (US) ·