Sarawak kenal pasti 7,000 hektar tanah untuk tanaman padi

1 hour ago 2
ADVERTISE HERE

BINTULU, 28 Sept: Kerajaan Sarawak mengenal pasti hampir 7,000 hektar tanah untuk dibangunkan sebagai kawasan tanaman padi bagi memperkukuh sekuriti makanan negeri dan negara.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada langkah Sarawak meningkatkan pengeluaran beras sendiri serta mengurangkan kebergantungan kepada bekalan dari luar.

Menurut beliau, sebanyak 4,000 hektar tanah telah digazetkan di bawah Seksyen 7, manakala tambahan 2,299 hektar tanah kerajaan turut dikenal pasti untuk tanaman padi.

“Bermakna kira-kira 7,000 hektar sudah kita kenal pasti dan digazetkan. Boleh tanam air, mesti tanam padi dan tanamannya perlulah kita gunakan secara metodologi yang moden,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Sarawak Agrofest 2026 di Lapangan Terbang Lama Bintulu, di sini, hari ini.

Tambah Abang Johari, Sarawak turut memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi moden termasuk varieti padi hibrid bagi meningkatkan hasil pengeluaran.

Katanya, kerjasama dengan institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Yunnan turut dilaksanakan bagi meneroka teknologi penanaman padi varieti saka (perennial).

Menurutnya, pendekatan berkenaan berpotensi meningkatkan produktiviti tanah serta pendapatan pengusaha menerusi hasil tuaian yang lebih berulang.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak telah menetapkan peruntukan RM1 bilion bagi pembangunan sektor pertanian sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh industri makanan negeri.

“Insya-Allah kerajaan Sarawak akan beri suntikan kepada pembangunan pertanian ini. Satu bilion telah kita tetapkan untuk pertanian,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan tersebut akan menyokong usaha mentransformasikan sektor pertanian menerusi penggunaan teknologi, ilmu pengetahuan dan pendekatan moden bagi meningkatkan hasil serta nilai ekonomi sektor berkenaan.

Jelas beliau, usaha tersebut turut memperkukuh pengeluaran padi kerana susulan cabaran perubahan iklim yang boleh menjejaskan pengeluaran makanan di peringkat global. – TVS

Read Entire Article