Sarawak sasar hasilkan beras berjenama sendiri

51 minutes ago 3
ADVERTISE HERE

BINTULU, 28 Sept: Sarawak menyasarkan penghasilan beras berjenama sendiri menerusi penyelidikan dan pembangunan varieti padi yang lebih mesra kesihatan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu penting bagi menghasilkan beras yang mempunyai kandungan kanji lebih rendah, sekali gus memberi pilihan makanan yang lebih sesuai dari aspek kesihatan.

Menurut beliau, pembangunan beras berkenaan turut berpotensi mewujudkan jenama tempatan yang boleh dipasarkan bukan sahaja di Malaysia, malah ke pasaran antarabangsa.

“Kita cuba untuk mengeluarkan beras yang mesra kesihatan, beras yang tidak mempunyai banyak kanji.

“Kalau kita mempunyai beras yang berada dalam lingkungan itu, maknanya kita dapat menghasilkan makanan yang sesuai dengan kesihatan.

“Kalau ini berlaku, kita mempunyai jenama kita sendiri dan seluruh dunia saya rasa berkenan dengan jenama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Sarawak Agrofest 2026 di Lapangan Terbang Lama Bintulu, di sini, hari ini.

Tambah Abang Johari, sebuah makmal akan dibangunkan di Kuala Baram bagi menjalankan penyelidikan benih padi menerusi kerjasama dengan Universiti Yunnan dan saintis tempatan.

Katanya, benih padi yang dibangunkan akan diuji di kawasan perintis terlebih dahulu bagi memastikan kesesuaiannya sebelum diperluas ke kawasan tanaman padi yang dikenal pasti.

Beliau berkata, pengeluaran padi secara berskala besar juga berpotensi menghasilkan lebihan bekalan untuk pasaran luar selepas keperluan tempatan dan Malaysia dipenuhi.

Menurutnya, pembangunan produk beras bernilai tambah itu merupakan sebahagian daripada usaha Sarawak memperkukuh industri makanan serta mengurangkan kebergantungan kepada bekalan dari luar. – TVS

Read Entire Article