Sarawak rancang tambah pesawat AirBorneo

1 hour ago 6
ADVERTISE HERE

LIMBANG, 19 Sept: Kerajaan Sarawak merancang menambah beberapa buah pesawat baharu bagi syarikat penerbangan milik negeri, AirBorneo Airways, bagi memenuhi keperluan kekerapan penerbangan khususnya di utara Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata usaha itu seiring dengan misi strategik Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, untuk mengukuhkan kesalinghubungan udara negeri.

“Saya tahu banyak permintaan untuk menambah AirBorneo. Kita sedang mendapatkan beberapa buah kapal terbang, termasuk jenis-jenis kapal terbang yang mendarat daripada Kuching ke Limbang ini.

“Semoga apa yang kita rancang untuk mendapatkan lagi beberapa buah kapal terbang ini tercapai. Dengan itu, mudah untuk kita merancang bukan sahaja dari segi kekerapan pesawat itu, tetapi juga dari segi destinasi. Saya bersama dengan Premier Sarawak telah pergi melihat di Toulouse, di France untuk berbincang dengan pembekal ini,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada Majlis Perasmian Pesta Limbang 2026 di Dataran Tebingan Sungai Limbang hari ini.

Awang Tengah berkata Kerajaan Sarawak sedang berada dalam peringkat perbincangan untuk menambah beberapa buah pesawat baharu jenis ATR bagi menggantikan pesawat sedia ada.

Jelasnya Premier Sarawak sebelum ini telah mengetuai delegasi rasmi melawat ibu pejabat serta kilang pemasangan akhir ATR dan Airbus di Toulouse, Perancis.

Ujarnya lawatan tersebut bertujuan untuk meninjau inovasi penerbangan terkini serta mempersiapkan Sarawak sebagai sebuah hab aeroangkasa serantau melalui kerjasama strategik dan pembangunan projek Aerotropolis.

Katanya lagi dengan penambahan pesawat baaharu itu, ia dapat memenuhi keperluan untuk menambah kekerapan penerbangan bagi laluan Kuching-Limbang kepada dua kali sehari bagi memenuhi permintaan penduduk tempatan. -TVS

Read Entire Article