ADVERTISE HERE
KUCHING, 21 Sept: Sarawak menyasarkan untuk menjadi bukan sahaja destinasi eko-pelancongan terkemuka, malah sebuah hab warisan budaya bertaraf dunia sebagai sebahagian daripada aspirasi pembangunan sosioekonomi negeri.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sektor pelancongan, warisan dan industri kreatif terus menjadi antara teras utama pembangunan negeri.
Menurutnya, usaha merealisasikan aspirasi berkenaan memerlukan peranan penting Jabatan Muzium Sarawak dalam memelihara sejarah, seni dan warisan, selain memperkenalkan kekayaan budaya Sarawak kepada masyarakat antarabangsa.
“Kerajaan Sarawak sentiasa meletakkan sektor pelancongan, warisan, dan industri kreatif sebagai teras utama pembangunan sosioekonomi negeri. Kita menyasarkan Sarawak bukan sahaja sebagai destinasi eko-pelancongan terkemuka, malah sebagai hab warisan budaya bertaraf dunia. Dalam merealisasikan aspirasi besar ini, Jabatan Muzium Sarawak memegang mandat yang sangat penting, ” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Apresiasi 2026, Jabatan Muzium Sarawak di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Ujarnya, muzium bukan sekadar berfungsi sebagai tempat menyimpan barangan purba atau khazanah lama, sebaliknya berperanan sebagai penjaga identiti dan jiwa Sarawak bagi memastikan naratif sejarah negeri kekal utuh, tepat dan diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.
Katanya, Jabatan Muzium Sarawak turut berperanan sebagai duta diplomasi kebudayaan, sekali gus membuka ruang kepada masyarakat luar untuk memahami kekayaan biodiversiti, kepelbagaian etnik serta keunikan tamadun Borneo.
Dalam pada itu, beliau berkata muzium juga berfungsi sebagai pusat pendidikan dan pelancongan berimpak tinggi menerusi keupayaannya menarik pelancong domestik serta antarabangsa, selain menyediakan ekosistem pembelajaran berkualiti untuk generasi muda.
Abdul Karim berkata, kejayaan Sarawak di pentas global, termasuk pengiktirafan tapak warisan berprestij serta penganjuran pameran antarabangsa, membuktikan warga permuziuman negeri mempunyai kepakaran dan kompetensi untuk bersaing di peringkat antarabangsa-
“Penyertaan Jabatan Muzium Sarawak dalam 22nd International Council on Monuments and Sites (ICOMOS) General Assembly and Scientific Symposium pada Oktober depan bakal menjadi platform penting untuk mempromosikan warisan budaya Sarawak dan Malaysia ke peringkat antarabangsa.
“Perhimpunan bertaraf dunia itu dijadual berlangsung dari 17 hingga 24 Oktober 2026, dengan menghimpunkan lebih 1,500 pakar dan penggubal dasar warisan dari 110 negara, ppenyertaan ini memberi peluang kepada Sarawak untuk mengetengahkan kekayaan sejarah, budaya dan warisan negeri kepada komuniti antarabangsa,” ujarnya.
Ujarnya lagi, bagi menyemarakkan persidangan berkenaan, Jabatan Muzium Sarawak turut menganjurkan empat program khas, iaitu Night at the Museum: Sarawak Authentic Gastronomy, Sarawak Museum Talk, Sarawak Museum Heritage Walk dan khidmat Tour Guides di tapak-tapak warisan.
Katanya, program tersebut akan mengetengahkan keunikan kulinari, sejarah serta seni budaya tempatan kepada pengunjung antarabangsa yang hadir ke Sarawak.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata Jabatan Muzium Sarawak juga sedang bersiap sedia menganjurkan Sarawak Heritage Conference 2026 pada 23 hingga 24 November depan, yang akan menghimpunkan pakar, penyelidik dan pengamal budaya bagi memelihara serta mempromosikan warisan budaya dan alam semula jadi Sarawak-TVS

1 day ago
9








English (US) ·