ADVERTISE HERE
KUCHING, 15 Sept: Sarawak menyasarkan pelancaran satelit ke orbit rendah bumi (LEO) menjelang 2030 sebagai langkah strategik untuk mendapatkan data dari angkasa bagi menyokong perancangan pembangunan dan aktiviti ekonomi negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, satelit berbentuk CubeSat itu merupakan antara usaha penting untuk memperkukuh keupayaan Sarawak mengakses dan mengurus data sendiri.
Menurutnya, data yang diperoleh dari angkasa akan disalurkan ke pusat data di Sarawak bagi membantu merangka strategi ekonomi serta aktiviti bukan ekonomi pada masa hadapan.
“Kita mempunyai sasaran untuk melancarkan satelit kita sendiri pada 2030 iaitu CubeSat yang dimiliki kerajaan Sarawak ke Low Earth Orbit.
“Ini merupakan langkah strategik yang sangat penting untuk kita mendapatkan data baharu dari angkasa ke pusat data di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sarawak Semiconductor Flagship Programme di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) di sini, hari ini.
Abang Johari menjelaskan, data berkenaan mempunyai nilai strategik yang tinggi kerana boleh menjadi asas kepada perancangan Sarawak dalam menghadapi keperluan masa depan.
Tambahnya, data yang dimiliki dan dikawal sendiri atau ‘sovereign data’ penting bagi membolehkan sesebuah negara atau wilayah membina strategi berasaskan data sendiri.
“Data ini sangat penting untuk kita merangka strategi, aktiviti ekonomi dan bukan ekonomi pada masa depan.
“Data ini biasanya dipanggil ‘sovereign data’ iaitu data yang dimiliki oleh negara untuk kita bina masa depan,” ujarnya.
Menurutnya, pembangunan keupayaan satelit dan pusat data itu turut melengkapi agenda Sarawak membina ekosistem teknologi sendiri, termasuk dalam bidang semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), aeroangkasa dan teknologi satelit.
Tambahnya, penguasaan teknologi dan data akan membolehkan Sarawak beralih daripada sekadar menggunakan teknologi yang dibangunkan pihak lain kepada membangunkan serta memiliki keupayaan teknologi sendiri.
Sasaran pelancaran satelit menjelang 2030 itu mencerminkan aspirasi Sarawak untuk memperkukuh keupayaan teknologi strategik dan memastikan data penting dapat dimanfaatkan bagi menyokong perancangan pembangunan negeri pada masa hadapan.-TVS

44 minutes ago
5







English (US) ·