Sarawak sasar peneraju penjagaan stoma di Malaysia

4 days ago 25
ADVERTISE HERE

KUCHING, 26 September:Sarawak menyasarkan untuk menjadi peneraju penjagaan stoma dan kontinens di Malaysia menerusi peningkatan kepakaran serta pembangunan profesional kesihatan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, penganjuran Simposium Stoma dan Kontinens Sarawak ke-3 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh pengetahuan dan pemahaman klinikal dalam kalangan jururawat serta doktor.

“Persidangan itu diharap dapat memberi manfaat kepada semua peserta menerusi perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman secara bersemuka dalam bidang penjagaan stoma dan kontinens.

“Usaha tersebut penting bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan serta memberi manfaat kepada lebih ramai pesakit, selain menjadikan Sarawak sebagai peneraju dalam penjagaan stoma dan kontinens di Malaysia, seterusnya meluaskan impaknya di peringkat serantau,”katanya ketika berucap pada majlis perasmian Simposium Stoma dan Kontinens Sarawak ke-3 2026 di Kuching pada Sabtu.

Tambahnya, ia turut menggalakkan peserta terlibat secara aktif dalam sesi ceramah, perbincangan dan perkongsian pengalaman, sebelum membawa pengetahuan yang diperoleh untuk dimanfaatkan di hospital, klinik serta komuniti masing-masing.

Dalam pada itu, Dr Sim turut merakamkan penghargaan kepada Hospital Umum Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), jawatankuasa penganjur serta semua pihak yang terlibat, sambil berharap simposium itu terus berkembang sebagai platform pembelajaran berterusan dan pembangunan profesional bagi memperkukuh penjagaan stoma dan kontinens di seluruh Sarawak.

Simposium berkenaan menghimpunkan profesional kesihatan bagi berkongsi pengalaman klinikal, membincangkan cabaran serta meneroka pendekatan praktikal yang boleh dilaksanakan dalam penjagaan harian pesakit.-TVS

Read Entire Article