ADVERTISE HERE
KUCHING, 14 Sept: Sarawak menyasarkan penubuhan sembilan lagi One-Stop Early Intervention Centres (OSEIC) menjelang 2030 bagi memperluas capaian perkhidmatan berkenaan ke lebih banyak kawasan di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sehingga 31 Disember 2025, seramai 745 kanak-kanak telah menerima perkhidmatan intervensi awal termasuk 673 kanak-kanak di Kuching manakala selebihnya menerima perkhidmatan di OSEIC Dalat.
Menurutnya, perkhidmatan OSEIC merangkumi diagnosis, intervensi awal, rehabilitasi, terapi dan sokongan kepada kanak-kanak berkeperluan khas.
“Intervensi awal penting kerana semakin awal kanak-kanak menerima sokongan yang bersesuaian, semakin besar peluang mereka untuk mengembangkan kemahiran komunikasi, pembelajaran, sosial serta kemahiran dalam kehidupan seharian,” katanya ketika berucap pada Officiating The KATSN The Gifted Art Gallery 2026 di Plaza Merdeka di sini, hari ini.
Selain peluasan perkhidmatan intervensi awal, Kerajaan Sarawak turut meluluskan RM30 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 bagi fasa pertama pembangunan Sarawak Special Needs Community Centre (SNCC) di Samarahan.
Pusat berkenaan dijangka siap pada Mei 2028 dan dirancang sebagai hab sokongan sepanjang hayat yang merangkumi intervensi awal, rehabilitasi, pembangunan kemahiran, latihan vokasional, pembangunan bakat, persediaan pekerjaan serta sokongan jangka panjang dan kediaman.
Sementara itu, Penasihat KATSN, Dato’ Sim Kiang Chiok berkata, usaha memperkasa golongan berkeperluan khas perlu melangkaui bidang seni, sebaliknya turut memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran praktikal dan kehidupan berdikari.
“Tugas kita bukan untuk menjadikan semua orang sama, tetapi untuk mengenal pasti apa yang setiap individu boleh lakukan dengan baik dan membantu mereka mengembangkannya,” katanya.
Menurutnya, KATSN sedang membangunkan Program Pembangunan KATSN berteraskan empat tonggak utama iaitu kesedaran, pembangunan, perkongsian maklumat dan keterangkuman komuniti, selain memberi latihan seperti penyediaan makanan, pengurusan wang, kemahiran hidup berdikari serta komunikasi.
KATSN juga mengembangkan inisiatif melalui Gifted Stations seperti Gifted Kitchen, Gifted Handmade, Gifted Art, Gifted Athletes dan Gifted Sewing, yang bertujuan membantu individu berkeperluan khas memperoleh kemahiran praktikal, keyakinan diri serta peluang pekerjaan. – TVS

6 hours ago
5








English (US) ·