ADVERTISE HERE
BETONG, 24 Sept: Program Sarawakku Sayang di Betong menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat kekitaan, memperkukuh perpaduan dan meraikan kepelbagaian budaya serta keunikan masyarakat Sarawak.
Program dari 25 hingga 27 September di Kompleks Sukan Betong itu membuka ruang kepada masyarakat setempat dan pengunjung untuk bersama menghayati identiti Sarawak yang terbina daripada kepelbagaian kaum, budaya, adat resam serta tradis diwarisi sejak turun-temurun.
Pada masa sama, pengunjung dapat mengetahui secara lebih terperinci mengenai perkhidmatan disediakan agensi Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka merasmikan program Sarawakku Sayang Betong pada 26 September ini.
Selain menjadi platform menghimpunkan masyarakat, penganjuran Sarawakku Sayang di Betong turut menyerlahkan potensi daerah berkenaan sebagai antara destinasi yang mempunyai tarikan tersendiri dari segi budaya, komuniti dan pelancongan.
Kehadiran pengunjung ke Betong juga memberi peluang kepada masyarakat luar untuk mengenali dengan lebih dekat kehidupan, budaya dan keunikan komuniti setempat dalam suasana penuh kemeriahan.
Program itu dijangka terus menghidupkan suasana di Betong menerusi pelbagai pengisian yang melibatkan masyarakat, sekali gus menjadikan Sarawakku Sayang sebagai platform untuk memperkenalkan wajah Sarawak kepada khalayak lebih luas.
Dalam masa sama, penganjuran program seperti ini mencerminkan semangat Sarawakku Sayang yang menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang, selain memupuk rasa bangga terhadap negeri serta warisan yang dimiliki.-TVS

9 hours ago
6








English (US) ·