Selain bantu bina rumah ibadat, Unifor juga bantu sekolah mubaligh

9 months ago 83
ADVERTISE HERE
Ambrose (dua dari kanan) menyampaikan bantuan Unifor kepada Thomas. Turut kelihatan Lo (tengah).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 2 Jan: Tugas Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) bukan setakat memberikan bantuan bagi membina atau memperbaiki rumah ibadat, malah turut membantu sekolah mubaligh, kata Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang.

Menurut beliau, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyediakan peruntukan kepada Unifor bagi tujuan tersebut dan memastikan sekolah mubaligh di Negeri ini berada di dalam keadaan baik.

“Ini sesuatu istimewa dan hanya berlaku di Sarawak. Unifor bukan sahaja membantu membina biara, tokong serta gereja, tetapi juga membantu sekolah mubaligh.

“Ini adalah kerana sekolah mubaligh tidak dibantu oleh kerajaan persekutuan seperti sekolah kerajaan,” katanya.

Lo berkata demikian semasa penyerahan bantuan berjumlah RM102,000 dari Unifor kepada SK Sacred Heart, Semeba di sini, hari ini.

Sementara itu, Lo memuji Menteri Pendidikan (kerajaan pusat) yang telah membenarkan pemimpin GPS untuk terlibat dalam usaha membantu sekolah-sekolah di Negeri ini.

Katanya, ia adalah keputusan yang tepat dalam memastikan semua sekolah berada dalam keadaan baik dan selamat.

“Dahulu kita ahli-ahli politik dari GPS tidak boleh masuk sekolah walaupun kita ada peruntukan menerusi Program Transformasi Luar Bandar untuk membantu sekolah.

“Tapi sekarang, saya memberi kredit kepada menteri pendidikan yang telah memberi kebenaran kepada kita membantu sekolah,” ujar Lo.

Dalam pada itu, wakil Unifor Ambose Linang telah menyerahkan bantuan RM102,000 itu kepada Pengerusi Lembaga Pengurusan SK Sacred Heart Thomas Gown. — DayakDaily

Read Entire Article