ADVERTISE HERE
KUCHING, 25 Sept: Seramai 300 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bako menyertai Program Pentarama X Kelab Malaysiaku yang berlangsung di sekolah berkenaan, hari ini.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Negeri Sarawak itu bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme serta meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kepentingan perpaduan, kenegaraan dan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
Program tersebut turut dihadiri Pegawai Penerangan Daerah Kuching, Pauline Sating, Pengetua SMK Bako, Mohd Firdaus Abdullah serta Penolong Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Cawangan Kuching, Nurul Ain Amalina Jamain.
Antara pengisian utama ialah persembahan artis Pentarama JaPen Negeri Sarawak yang mengetengahkan lagu-lagu serta persembahan berunsurkan patriotik dan kenegaraan.
Persembahan berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar sekali gus mewujudkan suasana ceria dan interaktif sepanjang program berlangsung.
Selain itu, pelajar turut menyertai Kuiz Kenegaraan yang menguji pengetahuan mereka mengenai Malaysia, sejarah, Rukun Negara, perpaduan dan nilai-nilai patriotisme.
Program turut menampilkan ceramah daripada MCMC Cawangan Kuching yang memberi pendedahan kepada pelajar mengenai penggunaan teknologi dan media digital secara berhemah, selain aspek keselamatan dalam dunia siber.
Pendekatan menerusi gabungan persembahan hiburan, kuiz dan ceramah dilihat dapat menjadikan penyampaian mesej kenegaraan lebih santai, menarik serta dekat dengan golongan pelajar.
Program Pentarama X Kelab Malaysiaku diharapkan dapat menjadi platform berterusan dalam membentuk generasi muda yang mempunyai jati diri, menghargai kepelbagaian masyarakat serta menghayati nilai perpaduan dan kecintaan terhadap negara.
Inisiatif seperti itu turut mencerminkan peranan JaPen dalam mendekati masyarakat, khususnya golongan muda, melalui pendekatan komunikasi kreatif dan berkesan bagi menyampaikan mesej kenegaraan. – TVS

58 minutes ago
5








English (US) ·