ADVERTISE HERE
MIRI, 19 Sept: Bahagian Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan masih menjalankan siasatan keselamatan rasmi bagi mengenal pasti punca nahas helikopter yang mengorbankan lima individu di hujung landasan terbang Long Lellang, Marudi pada 8 September lalu.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, siasatan dijalankan selaras dengan Bahagian 26 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Annex 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Menurutnya, pasukan penyiasat BSKU telah berada di lokasi kejadian pada hari kedua atau ketiga selepas nahas bagi menjalankan pemeriksaan dan mengumpul bahan bukti berkaitan.
Katanya, siasatan meliputi pemeriksaan lokasi kejadian dan bangkai pesawat, pengumpulan serta pemeliharaan bahan bukti, penelitian rekod operasi dan penyelenggaraan, maklumat kru, keadaan cuaca serta bukti lain yang berkaitan.
“Siasatan turut mendapat kerjasama dan sokongan teknikal daripada pengeluar pesawat di Jerman serta pengeluar enjin di Amerika Syarikat, selaras dengan peruntukan ICAO Annex 13.
“Pada peringkat ini, punca dan faktor penyumbang kemalangan masih belum ditentukan lagi. Siasatan masih berjalan dan BSKU tidak akan membuat sebarang kesimpulan sebelum semua bukti diteliti,” katanya yang ditemui pada Majlis Penyerahan MyLesen anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan, di sini, hari ini.
Nahas pada 8 September lalu mengorbankan seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjalankan perkhidmatan Doktor Udara.
Kesemua mangsa ditemukan di dalam bangkai helikopter dalam keadaan rentung selepas helikopter berkenaan terhempas dan terbakar di hujung landasan terbang Long Lelang.
Tambah Hasbi, BSKU akan mengeluarkan laporan awal atau preliminary report dalam tempoh 30 hari daripada tarikh kemalangan, selaras dengan ICAO Annex 13.
“Laporan awal tersebut seterusnya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 9 September lalu,” katanya.
Helikopter berkenaan telah digunakan KKM di Sarawak sejak 2009 bagi menyokong perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar, khususnya Miri, Bintulu, Limbang, Marudi dan Bario. – TVS

53 minutes ago
5








English (US) ·