Sibu FA atasi Miri FA 2-1 dalam aksi sengit Liga Premier Sarawak

12 minutes ago 2
ADVERTISE HERE

SIBU, 26 Sept: Sibu FA memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menewaskan Miri FA 2-1 dalam aksi Liga Premier Sarawak 2026 Zon Utara di Stadium Tun Ahmad Zaidi, di sini, petang tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Sibu FA mengutip tiga mata hasil kemenangan berkenaan dalam aksi yang berlangsung sengit di hadapan kira-kira 200 penyokong kedua-dua pasukan.

Sibu FA membuka tirai jaringan menerusi penyerang, Christopher Bantin anak Limed pada minit ke-33 untuk memberikan kelebihan 1-0 kepada tuan rumah.

Christopher sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring pada penghujung masa tambahan babak pertama selepas Sibu FA diberikan sepakan penalti susulan pemain Miri FA, Sylvestine Barandah Hohen, sengaja menghalang bola menggunakan tangan di dalam kotak penalti.

Ia sekali gus memaksa Miri FA beraksi dengan 10 pemain pada babak kedua selepas Sylvestine dilayangkan kad merah akibat tindakan tersebut.

Bagaimanapun, Miri FA bangkit sebaik babak kedua bermula apabila Harith Danielle Abdullah menjaringkan gol pada minit ke-46 dan merapatkan kedudukan kepada 2-1

Sibu FA bagaimanapun berjaya mempertahankan kelebihan sehingga wisel penamat untuk mengesahkan kemenangan 2-1 di laman sendiri.

Ketua Jurulatih Sibu FA, Endrew Lawadin, menyifatkan perlawanan berkenaan berlangsung sengit dan mengakui pada awalnya menjangkakan kedua-dua pasukan akan berkongsi mata.

“Perlawanan pada petang ini saya rasa pasukan Miri pun ingin mencari kemenangan, tetapi kemenangan ini berpihak kepada Sibu.

“Saya tengok permainan makin rancak sehingga ke minit-minit akhir. Kita boleh mendapat lagi satu gol sebenarnya tetapi sayangnya terlepas dan terkena tiang gol,” katanya.

Menurut Endrew, masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki Sibu FA khususnya dari segi kecergasan dan kekuatan pemain.

“Lepas perlawanan ini saya akan pastikan kecergasan kita bertambah lagi. Kekuatan kita mesti kena kuat lagi sebab saya tengok pada minit-minit terakhir banyak yang bukan cramp tetapi akan memberi impak kepada diri sendiri. Persembahan pasukan Sibu tidaklah begitu bagus tetapi memadai untuk perlawanan petang ini,” katanya.

Mengulas aksi seterusnya menentang Bintulu FA, Endrew berkata pasukannya akan memberikan segala-galanya bagi memburu kemenangan dan mencari tempat pertama dalam kumpulan.

Sementara itu, Pembantu Jurulatih Miri FA, Hairul Aizam Zakaria berkata, beberapa kesilapan individu serta kehilangan fokus pada masa tertentu menjadi antara aspek yang perlu diperbaiki Miri FA menjelang aksi seterusnya.

“Permainan pada permulaan seimbang tetapi mungkin pemain kami ada sedikit kesilapan individu ataupun hilang fokus pada masa tertentu. Kami akan perbaiki balik. Kami akan balik ke kem dan akan perbaiki untuk perlawanan seterusnya,” ujarnya.

Miri FA selepas ini dijadualkan akan bertandang dan menentang Mukah FA dalam aksi terakhir Liga Premier Sarawak.

Hairulaizam berkata pasukannya menyedari aksi di gelanggang lawan itu bukan mudah, namun akan berusaha mendapatkan keputusan positif bagi memburu peluang ke suku akhir.-TVS

Read Entire Article