Siri Jelajah KKM kenal pasti isu kesihatan kawasan luar bandar – Hanifah

2 hours ago 7
ADVERTISE HERE

LAWAS, 14 Sept: Siri Jelajah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan diteruskan bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai keperluan kesihatan di peringkat akar umbi terutama di kawasan luar bandar Sarawak.

Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Hanifah Hajar Taib berkata, pendekatan turun padang penting bagi memastikan isu sebenar dihadapi masyarakat dapat dikenal pasti dan diambil tindakan mengikut keperluan.

Menurut Hanifah, maklumat dalam laporan bertulis ada kalanya tidak menggambarkan sepenuhnya keadaan sebenar di sesuatu kawasan.

Justeru, katanya lawatan secara langsung membolehkan KKM menilai cabaran yang dihadapi, termasuk faktor geografi, akses kepada fasiliti dan keperluan kesihatan setempat.

“Reailitinya jika kita lihat, antara kekangannya ialah laporan di dalam kertas itu tidak memberikan gambaran sebenar yang diperlukan di lokasi sebenar. Jadi kita hendak memahami juga apakah kekangan termasuk dari segi struktur geografi, dari segi akses dan jauhnya daripada satu tempat ke fasiliti yang berdekatan. KKM perlu melihatkan keseluruhan,” katanya.

Hanifah berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Projek Hospital Lawas daripada Kementerian Kerja Raya Malaysia kepada KKM di bangunan Hospital Baharu Lawas, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan keperluan mesin pengimbas tomografi berkomputer atau CT scan di Hospital Baru Lawas turut akan diberi perhatian.

Katanya, KKM juga akan menilai keperluan kemudahan Klinik Kesihatan di Samalaju, susulan permintaan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Langkah itu menurutnya dilihat penting bagi memastikan keperluan kesihatan pekerja dan penduduk di kawasan industri dengan kepadatan penduduk melebihi 10,000 orang dapat diberi perhatian. -TVS

Read Entire Article