Siti Nurhaliza anggap 14 pencalonan AIM25 penghargaan muzik tradisional

1 day ago 7
ADVERTISE HERE

KUCHING, 25 Sept: Sebanyak 14 pencalonan diraih album Gema Bumantara pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) menjadi penghargaan terhadap usaha berterusan Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam memperjuangkan muzik tradisional.

Biduanita Negara itu berkata, pencapaian berkenaan amat bermakna kerana menghasilkan album berteraskan muzik tradisional dalam landskap muzik semasa bukan sesuatu yang mudah.

Katanya, Gema Bumantara dihasilkan dengan teliti menerusi kerjasama barisan penggiat seni berpengalaman, sekali gus menjadikan pencalonan berkenaan sebagai penghargaan bukan sahaja buat dirinya, malah seluruh pasukan yang terbabit.

“Saya berterima kasih kerana mendapat penghargaan apabila berjaya sampai ke peringkat akhir pencalonan menerusi album Gema Bumantara.

“Ini satu pencapaian yang sangat baik untuk saya kerana menghasilkan album tradisional pada masa sekarang memang mencabar,” katanya ketika ditemui TVS selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, di sini, hari ini.

Siti Nurhaliza berkata, cabaran menghasilkan karya tradisional tidak seharusnya melemahkan semangat penggiat seni, sebaliknya menjadi dorongan untuk terus mempertahankan dan memperkenalkan genre berkenaan kepada generasi baharu.

Beliau turut menggesa artis muda yang mempunyai kelebihan menyampaikan lagu berirama tradisional memainkan peranan dalam memastikan muzik berkenaan terus mendapat tempat dalam industri.

“Tradisional harus kita pertahankan dan perjuangkan. Kita juga perlu sentiasa memberi semangat kepada artis lain, terutama anak-anak seni muda yang mempunyai kelebihan menyampaikan lagu berirama tradisional,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Siti Nurhaliza kini memberi tumpuan kepada persiapan akhir bagi persembahan sempena AIM25, selain membuat persiapan untuk konsert Gema Bumantara yang dijadualkan berlangsung Oktober depan.

Katanya, beliau turut mengambil kesempatan berehat seketika selepas tiba di Sarawak sebelum meneruskan komitmen berkaitan AIM25.

Siti Nurhaliza turut meluahkan rasa teruja dapat kembali ke Sarawak selepas sekian lama tidak berkunjung ke negeri ini, selain berpeluang menikmati makanan tempatan termasuk laksa Sarawak dan mi kolok.

“Setiap kali datang ke Sarawak, saya memang teruja untuk menikmati makanan tempatan dan kali ini saya tidak mahu melepaskan peluang itu,” katanya.

Read Entire Article