SPEAK perkukuh hubungan sekolah industri pelajar

2 hours ago 5
ADVERTISE HERE

KUCHING, 23 Sept: Sistem Pesanan Kerjaya (SPEAK): Talent Bridge 2030 Siri Kuching menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan, sektor industri dan pelajar bagi memastikan pembangunan bakat Sarawak selari dengan keperluan ekonomi masa hadapan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, bimbingan kerjaya masa kini tidak lagi boleh tertumpu kepada pemberian senarai kursus semata-mata, sebaliknya perlu memberi pendedahan jelas mengenai laluan kerjaya, kemahiran diperlukan dan peluang pekerjaan yang tersedia.

Menurutnya, pendekatan berkenaan penting bagi membantu golongan muda membuat persediaan lebih baik untuk memasuki alam pekerjaan.

“Ini bukan sekadar angka, tetapi merupakan gambaran komitmen kita untuk menyediakan masa depan kepada golongan muda Sarawak agar mereka mempunyai peluang membina kerjaya di negeri ini,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis penutupan program berkenaan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Roland berkata, SPEAK akan membantu memperkasakan kaunselor sekolah dan pelajar dengan maklumat kerjaya yang lebih praktikal serta berasaskan perkembangan industri semasa.

“Kita perlu memperkukuh jambatan antara sekolah, industri dan para pelajar bagi memastikan mereka dapat mengakses peluang yang tepat,” ujarnya.

Program SPEAK: Talent Bridge 2030 Siri Kuching merupakan kesinambungan kepada siri jelajah yang telah dilaksanakan sebelum ini di Miri, Sibu dan Sri Aman.

Roland menambah, mesej yang dibawa dalam setiap siri adalah sama iaitu bimbingan kerjaya masa kini perlu melangkaui pendekatan tradisional dengan memberi panduan lebih jelas mengenai laluan pendidikan, kemahiran dan peluang pekerjaan kepada pelajar. – TVS

Read Entire Article