ADVERTISE HERE
KUCHING, 24 Sept: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 18 representasi bantahan sepanjang tempoh pameran Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Sarawak yang dijalankan sehingga 30 September ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, majoriti bantahan yang diterima setakat ini berkaitan cadangan pemindahan daerah mengundi daripada satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke kawasan DUN lain.
Menurutnya, terdapat juga beberapa representasi berkaitan nama kawasan DUN, namun semua pandangan berkenaan akan diteliti sebelum syor persempadanan dimuktamadkan.
“Sebarang pindaan atau perubahan terhadap cadangan asal akan dipertimbangkan berdasarkan maklumat serta pandangan yang diterima.
“Semua pihak digalakkan mengemukakan pandangan sama ada dalam bentuk bantahan, sokongan atau cadangan bagi membantu SPR memuktamadkan kajian berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Lawatan Pameran Syor Kajian Semula Persempadanan Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Ramlan berkata, setakat ini tiada bantahan yang diterima memerlukan kajian semula secara besar-besaran terhadap cadangan persempadanan berkenaan.
Katanya, SPR kini memantau pelaksanaan pameran selama sebulan yang diadakan di 44 lokasi di seluruh Sarawak bermula 1 September lalu.
“Selepas tempoh 30 hari itu selesai, kita akan menilai semua representasi daripada pengundi dan rakyat untuk kita nilai semula.
“Mengikut amalan, selepas representasi kita terima dan nilai, kita akan buat pameran semula sebelum syor kita muktamadkan,” katanya.
Beliau berkata, beberapa pasukan SPR turut menjalankan pemantauan di lokasi pameran termasuk di Lundu, Samarahan dan Padawan bagi memastikan proses berkenaan berjalan lancar.
“Selepas proses penilaian dan pameran semula, syor persempadanan yang dimuktamadkan akan dibawa ke Parlimen untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

6 days ago
13








English (US) ·