ADVERTISE HERE
Oleh DayakDaily Team
KUCHING, 16 Jun: Sebanyak 14 pingat emas akan menjadi rebutan bagi acara gimnastik artistik dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-21, kata Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Sagah berkata, ia bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Serian (SCC).
Justeru katanya, venue SCC kini sudah bersedia bagi penganjuran acara pada Ogos depan.
“Semua persiapan sudah dilakukan dan hanya menunggu ketibaan para atlet.
“Tempat kediaman pun sudah disediakan kita hanya tunggu mereka (atlet) datang sahaja,” kata Sagah semasa ditemui di Majlis Penyerahan Baton Sukma dan Para Sukma XXI Sarawak 2024 di SSC hari ini.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sukma XXI Sarawak 2024 Datu Hii Chang Kee memberitahu, seramai 200 orang atlet termasuk 200 orang teknikal sukarelawan, akan berkampung di Serian.
“Mereka akan berkampung dan bertanding di Serian untuk empat hari.
“Warga Bahagian Serian dipelawa turut sama meraikan temasya berprestij ini dengan memberi sokongan padu kepada semua atlet,” katanya. — DayakDaily