Tarian Naga China Town, tutup jalan, sekuriti ketat & perhimpunan warnai permulaan mesyuarat APEC di San Francisco

11 months ago 68
ADVERTISE HERE

SAN FRANCISCO: Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) -- AELM -- di sini bermula Ahad dengan diwarnai pelbagai peristiwa termasuk perhimpunan dan tarian naga di China Town yang terkenal, menarik minat penduduk tempatan dan pengunjung.

Ketika pihak berkuasa sibuk meningkatkan kawalan keselamatan di bandar dengan penutupan jalan dan peletakan penghadang untuk mesyuarat itu memandangkan pemimpin Ekonomi APEC akan mula tiba esok, ratusan orang berkumpul di jalanan pada Ahad, membantah pelbagai isu termasuk menyuarakan gesaan segera gencatan senjata di Gaza.

Sementara itu delegasi dari 21 negara anggota APEC telah mula tiba sejak akhir minggu lepas bagi menghadiri Mesyuarat Pegawai Kanan.

Malaysia yang menjadi anggota APEC juga merupakan antara negara yang memperjuangkan isu Palestin.

Serangan udara Israel tanpa henti dan operasi darat yang kejam di Gaza telah mengorbankan lebih 11,000 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak.

Kumpulan penunjuk perasaan pro-Palestin yang meriah itu berarak dari plaza di hadapan bangunan feri San Francisco, pintu masuk ke bandar dan bergerak ke arah Moscone Centre yang menjadi lokasi mesyuarat berkaitan APEC.

Selain perhimpunan, tarian naga di China Town di sini pada hujung minggu telah menarik turut menarik perhatian penonton serta pelawat, terutama kalangan media yang membuat liputan mesyuarat APEC kali ke-30 di sini.

Menurut laporan, San Francisco, yang menjadi pusat komersial, kewangan dan kebudayaan California Utara, dijangka menyaksikan kemasukan kira-kira 20,000 pengunjung sempena APEC kali ini.

Kawasan Teluk San Francisco menempatkan banyak syarikat Fortune 500 terbesar di dunia seperti Tesla, Uber, Salesforce, Pixar, Netflix, Lucasfilm Ltd, Levi Strauss dan beberapa firma paling inovatif dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI), bioteknologi, perisian, teknologi bersih dan media sosial.

“Terdapat pandangan berbeza-beza oleh orang di sini,” kata Hussein Abdel, 69, yang berasal dari Lubnan dan kini telah menetap di sini selama lebih 40 tahun.

“Ada yang tidak selesa dengan semua langkah keselamatan, lencongan dan kesulitan kerana banyak jalan di sekitar dan menuju Moscone Centre telah ditutup dan terdapat juga penutupan laluan transit.”

Namun, dari asepk positifnya, kawasan bandar ini telah dibersihkan.

“Saya tidak pernah melihat bandar ini sebersih ini sebelum ini. Mereka sepatutnya membawa mesyuarat besar lebih kerap ke sini,” kata Abdel secara berseloroh.

“Selain itu jika anda lihat sekeliling, terdapat sebilangan lot kedai yang kosong. Ini kerana pandemik sebelum ini, banyak perniagaan di sini telah muflis.”

Namun, dengan pelbagai pendedahan yang dialami dan diterima bandar ini, perniagaan berkemungkinan berkembang maju malah lebih banyak lagi akan dibuka, katanya semasa perbualan secara spontan dengan Bernama.

Bandar ini merupakan bandar keempat dengan penduduk paling ramai di California.

Antara acara kemuncak APEC 2023 ialah pertemuan di antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dengan Presiden China, Xi Jinping di luar jadual APEC.

Jangkaan pertemuan pemimpin dua ekonomi terbesar dunia itu telah dilaporkan secara meluas, dengan kedua-dua pihak membisu mengenai agendanya.

APEC merangkumi hampir tiga bilion penduduk, membentuk 62 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan meliputi 48 peratus daripada perdagangan dunia pada 2021.

Selaku Pengerusi APEC untuk 2023, Amerika Syarikat akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) buat kali ketiga, selepas 1993 dan 2011 di Blake Islands dan Honolulu.

Tahun ini, Presiden Joseph R. Biden akan mempengerusikan AELM dan dijangka mengetuai perbincangan mendalam dengan pemimpin APEC mengenai topik yang berpusat kepada pengukuhan hubungan ekonomi; meningkatkan keterangkuman dan kemampanan; dan mengukuhkan daya tahan dan kerumitan ekonomi; selaras dengan tema APEC 2023, “Membina Masa Depan yang Berdaya Tahan dan Mampan untuk Semua”.

AELM ke-30 dijangka menerima pakai Deklarasi Golden Gate 2023 Pemimpin APEC.

AS dan Malaysia adalah antara 12 anggota pengasas APEC di samping Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Filipina, Singapura dan Thailand.

China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea menyusul pada 1993. Chile menyertai pada 1994, dan pada 1998, Peru, Rusia dan Vietnam pula menyertai sekali gus menjadikan keanggotaan penuh kepada 21 anggota.–Bernama

Read Entire Article