Teknologi BIM: Kerajaan jimat RM157 juta laksana projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak

1 hour ago 3
ADVERTISE HERE

PUTRAJAYA, 15 Sept: Kerajaan dapat menjimatkan RM157 juta menerusi penggunaan teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dalam pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Azman Ibrahim.

Beliau berkata penggunaan BIM dalam projek berkenaan pada 2016 turut berjaya mengenal pasti dan menyelesaikan lebih 3,000 kesilapan pada lukisan reka bentuk, sekali gus mengelakkan projek itu daripada mengalami kelewatan sehingga 10 tahun.

“Kita di KKR berusaha untuk mentransformasikan industri pembinaan negara dengan penggunaan BIM. Sebenarnya penggunaan BIM bukan satu pembaharuan, sudah lama. Cuma pada peringkat negara, kita sedang usahakan supaya kita boleh mencapai satu tahap yang boleh dibanggakan.

“Contohnya pada 2016, kita telah melaksanakan pembinaan Pan Borneo Sarawak menggunakan BIM. Apabila kita guna BIM, kita berjaya selesaikan ‘clashes’ tersebut dan kita berhasil menjimatkan duit kerajaan pada ketika itu sebanyak RM157 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Malaysia BIM Day 2026: Putrajaya Digital Built yang dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh di sini hari ini.

Beliau berkata penggunaan BIM turut membantu mempercepat proses kelulusan pelan daripada kira-kira 14 hari kepada hanya 48 jam yang dicapai tanpa penggunaan kecerdasan buatan (AI) justeru pada masa hadapan KKR akan menggabungkan teknologi itu bagi mempercepat proses tersebut.

Dalam pada itu, Azman berkata KKR akan memperluas kemudahan Makmal BIM di seluruh negara bagi membantu kontraktor dan perunding menggunakan teknologi berkenaan serta mengurangkan beban kos bagi mendapatkan perisian.

“Tahun ini kita dapat RM83.3 juta untuk kita bina Makmal BIM seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak. Maknanya keseluruhan kita akan ada 16 Maknal BIM,” katanya.

Beliau berkata usaha itu merupakan sebahagian langkah KKR untuk meningkatkan penggunaan teknologi bagi memperkukuh daya saing negara dalam perancangan bandar dan industri pembinaan.

BIM adalah proses penyediaan dan pengurusan model tiga dimensi (3D) berinformasi dalam kitar hayat pelaksanaan sesebuah projek dengan model digital ini digunakan oleh pelbagai pihak untuk tujuan tertentu bagi meningkatkan tahap keberkesanan pengurusan aset menyeluruh.

BIM berasaskan model 3D pintar yang memberikan maklumat kepada arkitek, kejuruteraan dan profesional pembinaan merancang, mereka bentuk, membina dan mengurus bangunan serta infrastruktur dengan cekap. -TVS

Read Entire Article