ADVERTISE HERE
KUCHING: Kemasukan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di bawah Kementerian Komunikasi akan memperkukuhkan lagi usaha kementerian untuk mempromosikan inisiatif kerajaan dan memerangi salah maklumat.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching (gambar) berkata inisiatif yang baik seperti Skim Perubatan MADANI perlu dipromosikan lagi supaya rakyat mendapat manfaat daripada skim itu.
“(Di bawah skim ini) kami telah menyediakan lebih satu juta rawatan percuma untuk penyakit kecil kepada pesakit dan ini adalah kisah kejayaan, tetapi saya percaya masih ada di luar sana yang tidak tahu mengenai inisiatif itu.
“Kami juga ingin membantu kementerian lain untuk mempromosikan semua program dan inisiatif mereka supaya lebih ramai sedar dan mendapat manfaat daripadanya,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi perjumpaan bersama Ketua Jabatan Kementerian Komunikasi Sarawak di sini, hari ini.
Pada 13 Dis lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata J-KOM, yang sebelum ini di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), kini diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi.
Teo berkata komunikasi yang cekap dan berkesan penting, bukan sahaja untuk menyebarkan inisiatif baharu tetapi juga dalam bertindak balas terhadap isu-isu tertentu.
Beliau berkata, kerajaan perlu memberi penjelasan mengenai kenyataan atau maklumat yang mengelirukan dengan berkesan dan tidak seharusnya membiarkan isu-isu tertentu berlarutan tanpa ditangani selama beberapa hari.
“Pada masa sama kita perlu menggunakan agensi kita seperti JaPen (Jabatan Penerangan), RTM dan Bernama untuk menyebarkan penjelasan secara berkesan supaya isu-isu berkenaan dapat ditangani,“ katanya.-Bernama