ADVERTISE HERE
PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan bahawa tiada kumpulan yang akan dikecualikan daripada cadangan pindaan perlembagaan untuk kewarganegaraan.
Mengambil kira kebimbangan mengenai kemungkinan kumpulan tertentu akan terpinggir, Saifuddin berkata, kerajaan telah mengadakan ratusan libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan.
Ia termasuk organisasi bukan kerajaan, ahli akademik, pakar perundangan, dan organisasi antarabangsa sebelum pindaan ini dibentangkan di Parlimen.
“Walaupun KDN telah melakukan sesi libat urus secara intensif dan mengambil kira pelbagai pandangan, kritikan, serta cadangan, kami akui masih ada kegusaran dari pihak tertentu berkenaan beberapa butiran pindaan ini,
“Tentunya sebagai menteri yang bertanggungjawab, terhadap perihal kewarganegaraan saya mengulangi jaminan bahawa tiada satu pun kumpulan yang akan terkecuali atau diabaikan dalam pindaan ini,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.
Saifudin berkata, hak kewarganegaraan bagi sekitar 30,000 pemastautin tetap (PR) yang lahir di negara ini tidak akan terjejas dengan perubahan undang-undang.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pindaan tersebut bertujuan untuk mengelakkan dua kewarganegaraan.
“Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk melaporkan kelahiran anak-anak mereka kepada kedutaan masing-masing bagi memastikan kewarganegaraan negara asal mereka,” katanya.
Sementara itu, Saifuddin berkata Orang Asli dan masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak tidak terkesan dengan cadangan pindangan Perlembagaan ini, tidak seperti kebimbangan yang dibangkitkan sejumlah pihak.
Katanya, status mereka sebagai warga Malaysia berdasarkan undang-undang dijamin di bawah Perkara 161 Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada dokumen yang diperlukan oleh undang-undang itu.
Mengenai isu syarat kelayakan bahasa bagi permohonan kewarganegaraan, Saifuddin berkata syarat Bahasa Malaysia dikenakan kepada pasangan asing, namun ujarnya, ujian kelayakan bahasa juga melibatkan soalan-soalan berkaitan budaya.
“Interview bahasa ini bukanlah skrip (contohnya akan ditanya) nama penuh, alamat, kita tunjuk gambar muruku (makan traditional), perayaan, itu saja ujian bahasanya,” jelasnya.