Tiga anak Sarawak, tiga latar belakang, satu impian bangunkan Sarawak

47 minutes ago 1
ADVERTISE HERE

KUCHING, 23 Sept: Ada yang membesar di kampung dan perlu menyeberangi sungai untuk ke sekolah, ada yang dibesarkan keluarga petani dan ada pula yang sejak kecil membina impian melalui LEGO serta minat terhadap kereta lumba.

Hari ini, latar belakang berbeza itu mempertemukan tiga anak muda Sarawak melalui Tajaan Pendidikan PETRONAS Memperkasakan Ilmu Sarawak 2026, yang membuka peluang untuk mereka melanjutkan pengajian dan mengembangkan potensi.

Bagi mereka, tajaan itu bukan sekadar tiket ke universiti, tetapi peluang membuktikan bahawa asal usul bukan penghalang untuk membawa impian besar, malah ilmu yang bakal diperoleh mahu dibawa pulang untuk Sarawak.

Berasal dari sebuah kampung di Dalat, Christopher Daniel Zamery tidak pernah menyangka satu notifikasi di telefon ketika berada di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan akan mengubah perjalanan hidupnya.

“Saya masih ingat saat saya menerima berita mengenai kelulusan tajaan itu. Saya berasa sangat gembira dan teruja kerana tidak menyangka seseorang seperti saya yang berasal dari kampung boleh mendapat tajaan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Tajaan Pendidikan PETRONAS Memperkasakan Ilmu Sarawak 2026.

Namun kegembiraan itu hadir bersama sedikit rasa sebak apabila dia menyedari keluarganya tiada di sisi untuk meraikan berita tersebut dan ibunya yang menjadi sumber motivasi terbesar itu hanya mampu berkongsi detik itu menerusi panggilan telefon.

Perjalanan Christopher bukan mudah apabila beliau perlu menyeberangi sungai untuk ke sekolah dan pernah tinggal di asrama lebih lama ketika tempoh SPM bagi memastikan keselamatannya terjamin.

Kekangan kewangan selepas ibu bapanya berpisah turut menjadi cabaran, namun tidak mematahkan semangatnya.

Kini, Christopher bakal melanjutkan pengajian Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), dengan impian melihat teknologi berkembang lebih pesat di Sarawak serta membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada anak-anak luar bandar.

Bagi Muhammad Aiman Aliff Samsul pula, dunia robotik yang pada mulanya hanya hadir melalui filem seperti Transformers akhirnya menjadi hala tuju kerjayanya.

Anak kedua daripada lima beradik itu dibesarkan dalam keluarga petani di Bintulu sebelum melanjutkan persekolahan di SM Sains Miri.

Kini mengikuti program asasi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Aiman bakal melanjutkan pengajian dalam Kejuruteraan Mekatronik.

Menurutnya, perkembangan sektor perindustrian Sarawak membuka ruang kepada jurutera mekatronik untuk menyumbang melalui inovasi baharu, termasuk teknologi robotik yang berpotensi membantu menangani isu alam sekitar.

“Seandainya saya berjaya setelah tamat tempoh pengajian, saya akan kembali ke Sarawak kerana kini banyak kilang di wilayah itu memerlukan kepakaran mekatronik. Jadi saya akan cuba sedaya upaya untuk menyumbang semula kepada masyarakat melalui inovasi,” katanya.

Sementara itu, bagi Theodora Pei Ern Huei, minat terhadap Kejuruteraan Mekanikal bermula daripada LEGO, Formula One dan kereta lumba.

Anak tunggal itu mengakui ibu bapanya pada awalnya agak bimbang apabila mengetahui dia bakal berjauhan dari rumah untuk melanjutkan pengajian, namun pada masa sama berasa teruja melihat peluang yang diterimanya.

Theodora akan mengikuti A-Levels di Taylor’s College sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di sama ada United Kingdom atau Kanada.

Dengan minatnya terhadap teknologi, beliau mahu membantu Sarawak memperkukuh kedudukannya sebagai hab semikonduktor, selain menyumbang kepada ekonomi digital dan pembangunan tenaga hidrogen.

“Saya juga ingin menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital Sarawak menjelang 2030 serta usaha wilayah ini untuk membangunkan tenaga hidrogen sebagai antara sumber tenaga utama pada masa hadapan,” katanya.

Di sebalik pencapaian mereka, ketiga-tiga anak muda itu berkongsi satu lagi pengalaman, perasaan ragu-ragu terhadap kemampuan diri sendiri.

Theodora misalnya pernah berdepan apa yang disifatkannya sebagai kelesuan akademik ketika menghadapi peperiksaan percubaan SPM.

Keraguan terhadap kemampuan diri akhirnya mendorongnya mendapatkan bantuan kaunselor sekolah dan nasihat yang diterimanya kekal menjadi pegangan sehingga hari ini: seseorang sebenarnya mampu mencapai lebih daripada apa yang disangkakan (You are bigger than what you think you are).

Bagi ketiga-tiga mereka, kejayaan mendapatkan tajaan PETRONAS juga bukan semata-mata mengenai keputusan akademik.

Aiman melihat proses pemilihan sebagai ruang untuk membina kepimpinan, kerja berpasukan, komunikasi dan disiplin, manakala Christopher pula menekankan pentingnya keseimbangan antara akademik dan kokurikulum.

Theodora pula melihat tajaan itu sebagai peluang untuk membina rangkaian, pendedahan dan pengalaman industri yang dapat menyediakan dirinya menghadapi masa depan yang dipacu teknologi.

Kisah mereka mencerminkan bagaimana pendidikan boleh menjadi pemangkin perubahan, bukan sahaja dalam kehidupan seseorang individu, malah kepada keluarga, masyarakat dan masa depan negara termasuk Sarawak.

Bagi PETRONAS, pendidikan merupakan satu daripada usaha penting dalam membangunkan bakat masa depan, dengan kepercayaan bahawa pelaburan terhadap insan hari ini turut menjadi pelaburan terhadap kemajuan negeri dan negara pada masa hadapan.

Melalui inisiatif Memperkasakan Ilmu, PETRONAS terus menyediakan peluang kepada anak-anak Malaysia daripada pelbagai latar belakang untuk mengembangkan potensi, membina kemahiran dan mengejar aspirasi masing-masing.

Usaha itu turut mencerminkan komitmen jangka panjang PETRONAS dalam memupuk bakat masa depan. Sejak diperkenalkan pada 1975, program tajaan pendidikan ini telah memberi manfaat kepada lebih 40,000 pelajar Malaysia, termasuk ramai dari Sarawak. – TVS

Read Entire Article