Tiga individu ditahan, dadah dirampas dalam dua serbuan di Kuching

2 hours ago 8
ADVERTISE HERE

KUCHING, 14 Sept: Tiga individu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita ditahan dalam dua serbuan berasingan di sini semalam dan hari ini dengan keseluruhan dadah disyaki methamphetamine dan pil erimin 5 bernilai kira-kira RM1,146 dirampas.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 3 petang semalam oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di kawasan Kampung Semariang Jaya.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun ditahan dalam serbuan itu dan pemeriksaan menemukan dadah disyaki methamphetamine seberat 5.18 gram bernilai kira-kira RM500.

“Ujian saringan awal air kencing suspek turut didapati positif amphetamine dan methamphetamine, manakala semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau.

“Dalam serbuan kedua kira-kira jam 2.40 pagi tadi sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sarawak menahan seorang wanita berusia 41 tahun dan lelaki berusia 45 tahun di hadapan sebuah hotel di Jalan Tawi Sli,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya,hasil pemeriksaan menemukan dadah disyaki methamphetamine seberat 11.73 gram serta pil Erimin 5 seberat 0.85 gram dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM646.

“Kedua-dua suspek didapati positif amphetamine, methamphetamine dan benzodiazepine (benzo) melalui ujian saringan awal air kencing. Semakan rekod pula mendapati suspek wanita mempunyai enam rekod jenayah lampau, manakala suspek lelaki mempunyai tiga rekod.

“Ketiga-tiga suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan, manakala kes serbuan kedua disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” tegasnya.-TVS

Read Entire Article