Tujuh inisiatif perkasa warisan Old Kuching

6 hours ago 7
ADVERTISE HERE

KUCHING, 22 Sept: Sarawak melancarkan tujuh inisiatif awam bagi memperkukuh pemuliharaan, pendokumentasian, penyertaan komuniti serta pengurusan jangka panjang warisan binaan dan warisan hidup di ‘Old Kuching’.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembangunan tidak seharusnya dipisahkan daripada komuniti dan identiti budaya Sarawak.

“Pembangunan sebenar tidak boleh berlaku secara terasing daripada komuniti kita atau warisan budaya kita yang kaya,” katanya dalam kenyataan selepas merasmikan program Heritage Future: Voices of Old Kuching di Kuching, semalam.

Program itu dianjurkan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) bersama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Tujuh inisiatif berkenaan ialah Siri Jejak Warisan Bertema Old Kuching, Pameran Mini Warisan Berasaskan Komuniti, Pertandingan Video Pendek dan Fotografi Old Kuching, Siri Penerbitan Warisan dan Pelancaran Buku, Youth Hackathon: Heritage Preservation and Conservation, Bengkel Teknikal Warisan dan Perubahan Iklim bersama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), serta Heritage Masterclass and Training of Trainers.

Menurut Sekretariat Heritage Future: Voices of Old Kuching, kesemua inisiatif itu dirangka sebagai program sokongan kepada Perhimpunan Agung dan Simposium Saintifik ICOMOS Ke-22 2026 yang akan berlangsung di Kuching dari 17 hingga 24 Oktober depan.

Ia turut bertujuan memastikan manfaat penganjuran persidangan antarabangsa berkenaan dapat diteruskan kepada komuniti dan kawasan “Old Kuching”.

Program itu menghimpunkan pihak berkuasa tempatan, Jabatan Muzium Sarawak, Pejabat Residen Kuching, TV Sarawak (TVS), ICOMOS Malaysia, Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM), Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Sarawak Heritage Society, pemimpin komuniti serta kumpulan belia.

Menurut Abdul Karim, kerjasama antara pembuat dasar, penyelidik dan pemegang taruh tempatan penting bagi memastikan usaha pemuliharaan menghasilkan impak yang berpanjangan.

“Apabila pembuat dasar, penyelidik dan pemegang taruh tempatan bergerak seiring, kita beralih daripada sekadar perancangan kepada impak yang bermakna dan berkekalan,” ujarnya.

‘Old Kuching’ merangkumi pelbagai lapisan sejarah dan identiti masyarakat Sarawak termasuk kampung tradisional Melayu di sepanjang Sungai Sarawak, bangunan bersejarah era Brooke dan British, rumah ibadat pelbagai agama, muzium, rumah kedai lama, pasar serta komuniti di kawasan Main Bazaar, Carpenter Street, India Street, Gambier Street dan Upper China Street.

Program berkenaan dijangka memperkukuh rekod warisan bertulis dan digital, pengetahuan komuniti, keupayaan profesional serta penglibatan belia bagi memastikan ‘Old Kuching’ terus dipelihara sebagai sebuah bandar warisan yang hidup.-TVS

Read Entire Article