Tun Wan Junaidi gesa perkukuh kawalan sempadan Sarawak

1 week ago 16
ADVERTISE HERE

KUCHING, 22 Sep: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengingatkan agar kawalan keselamatan di sempadan Sarawak terus diperkasa susulan kewujudan lebih 80 laluan tidak sah atau jalan tikus yang berpotensi digunakan bagi kegiatan rentas sempadan yang menyalahi undang-undang.

Beliau berkata, kedudukan geografi Sarawak yang mempunyai sempadan daratan yang luas dengan Kalimantan, Indonesia, serta kawasan perairan yang strategik memerlukan kerjasama berterusan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi keselamatan dan pihak berkuasa berkaitan.

Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi Tun Wan Junaidi, beliau menegaskan bahawa aspek pemantauan, penguatkuasaan dan penyelarasan antara agensi perlu diperkukuh bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan sempadan negeri sentiasa terpelihara.

Pandangan itu disuarakan ketika beliau bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Malek Razak Sulaiman, bersama delegasi di Astana Negeri Sarawak, hari ini.

Kunjungan berkenaan turut menjadi sesi memperkenalkan Malek Razak sebagai Panglima Angkatan Tentera yang baharu, selain membincangkan pelbagai perkara berkaitan keselamatan, pertahanan dan kepentingan strategik Sarawak.

Dalam pertemuan hampir sejam itu, Tun Wan Junaidi turut menekankan kepentingan memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan di kawasan sempadan bagi menghadapi cabaran rentas sempadan yang semakin kompleks.

Beliau turut berpandangan bahawa keselamatan dan kestabilan negara merupakan asas penting kepada pembangunan ekonomi, kemakmuran serta keharmonian masyarakat.

“ATM disaran terus memperkukuh tahap kesiapsiagaan dan keupayaan pertahanan, termasuk memanfaatkan kemajuan teknologi moden dalam menghadapi cabaran keselamatan masa hadapan,” kata kenyataan itu.

Tun Wan Junaidi turut menekankan kepentingan pembangunan modal insan dalam ATM, khususnya melahirkan anggota yang bukan sahaja mempunyai tahap kecekapan dan disiplin tinggi, malah menguasai kepakaran dalam bidang teknologi serta inovasi pertahanan.

Menurut beliau, penguasaan teknologi dan kepakaran tempatan penting bagi membolehkan negara meningkatkan keupayaan menghasilkan aset serta teknologi pertahanan sendiri, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap kepakaran dan teknologi luar.

Read Entire Article