ADVERTISE HERE
KUCHING, 24 Sept: Pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi antara pemacu utama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam melahirkan tenaga penjagaan berkemahiran, dengan sasaran 50,000 caregiver profesional menjelang 2030.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, menerusi program latihan berasaskan TVET, seramai 2,000 peserta disasarkan mengikuti latihan pada tahun ini sebagai usaha memperluas kumpulan penjaga yang mempunyai kemahiran serta kelayakan khusus.
Menurutnya, program itu telah dimulakan sejak 2023 dengan penglibatan 400 peserta, diikuti 485 peserta pada tahun lepas, sebelum diperluaskan lagi kepada orang awam termasuk mereka di luar institusi kementerian.
“Sekarang ini kita sasarkan 2,000 caregiver yang akan dilatih. Sebelum ini sudah ada 885 dan kita buka lagi ruang kepada orang luar daripada institusi kami,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang 2026 Sekolah Menengah Teknik Sejingkat, di sini hari ini.
Nancy berkata, penggunaan pendekatan TVET penting bagi memastikan peserta bukan sahaja mempunyai pengalaman menjaga, tetapi turut dibekalkan ilmu teori dan latihan praktikal yang diperlukan untuk mengendalikan golongan yang memerlukan penjagaan.
“Bukan sekadar tugas penjagaan biasa seperti tanggapan sebelum ini, sebaliknya kita beri latihan fizikal dan teori supaya mereka mempunyai kemahiran menjaga individu yang memerlukan bantuan secara betul,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha itu turut melibatkan kerjasama bersama universiti dan pihak swasta bagi memperkukuh modul latihan, selain memastikan bidang penjagaan diiktiraf sebagai satu kerjaya profesional yang mempunyai peluang luas dalam negara serta antarabangsa. – TVS

6 days ago
16








English (US) ·