ADVERTISE HERE
KUCHING, 13 Dis: Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berikrar akan melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin.
“Ia demi manfaat rakyat dan negara secara keseluruhannya.
“Saya akan akan terus menyumbang bakti demi negara selepas diberi tanggungjawab baharu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) itu berterima kasih kepada Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di atas kepercayaan untuk menggalas amanah dan tanggungjawab sepanjang setahun di Jabatan Perdana Menteri.
“Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada Perdana Menteri di atas kepercayaan kepada saya untuk untuk menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Digital,” katanya.
Pada 10 Disember 2022, Wilson Ugak yang juga Ahli Parlimen Hulu Rajang dilantik menyertai kabinet buat kali pertama sejak menang kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
Menerusi pengumuman Anwar semalam, Ugak akan memegang jawatan baharu itu bergandingan dengan Gobind Singh Deo sebagai menteri.
Kementerian baharu ini dipecahkan daripada Kementerian Komunikasi dan Digital yang mana Fahmi Fadzil diberi tanggungjawab sebagai Menteri Komunikasi. — DayakDaily