United Asiapac catat pencapaian pertama sasaran tiga syarikat Bumiputera Sarawak di Bursa Malaysia

2 hours ago 5
ADVERTISE HERE

KUALA LUMPUR, 14 Sept: Penyenaraian United Asiapac Energy Berhad (UAE) di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini menjadi pencapaian pertama dalam usaha Sarawak mencapai sasaran menyenaraikan tiga syarikat Bumiputera di Bursa Malaysia menjelang 2030.

Kerajaan Sarawak menyifatkan penyenaraian syarikat yang menyediakan penyelesaian intervensi telaga bagi industri minyak dan gas huluan itu sebagai perkembangan penting dalam memperluas penyertaan syarikat Bumiputera Sarawak dalam pasaran modal negara.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, merakamkan tahniah kepada lembaga pengarah, barisan pengurusan serta seluruh warga United Asiapac atas pencapaian berkenaan.

Beliau berkata, penyenaraian itu mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan syarikat Bumiputera Sarawak untuk menembusi pasaran yang lebih luas.

“Penyenaraian United Asiapac membuktikan bahawa syarikat Bumiputera dari Sarawak mempunyai keupayaan, kepakaran dan aspirasi untuk berkembang serta bersaing pada skala yang lebih besar.

“Kerajaan Sarawak menyedari terdapat syarikat yang berupaya mencapai tahap penyenaraian melalui usaha dan keupayaan sendiri,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan akan terus menyokong syarikat Bumiputera berpotensi menerusi proses pembangunan dan bimbingan berstruktur atau grooming process.

Langkah itu bertujuan membantu syarikat berkenaan berkembang daripada perusahaan mikro kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sebelum mencapai tahap sebagai syarikat yang bersedia untuk disenaraikan.

“Peranan kerajaan adalah untuk membuka laluan, menyediakan bimbingan serta menghubungkan syarikat berpotensi dengan pembiayaan, pasaran dan kepakaran yang diperlukan untuk berkembang.

“Usaha itu akan terus diperkukuh menerusi kerjasama MINTRED dengan agensi Persekutuan dan Negeri serta rakan strategik termasuk TERAJU, Bursa Malaysia, institusi kewangan dan pemain industri,” ujarnya.

Kerjasama itu turut dilaksanakan menerusi Sarawak Entrepreneur Development Coordination Committee (SEDCC), yang berperanan sebagai platform penyelarasan dan perkongsian antara agensi Persekutuan dan Negeri.

Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak memperkenalkan Kerangka Strategik 3-7-20 bagi memperjelas laluan pertumbuhan syarikat Bumiputera menjelang 2030.

Kerangka itu menyasarkan tiga syarikat Bumiputera Sarawak disenaraikan di Bursa Malaysia, tujuh syarikat Bumiputera dibangunkan sebagai Champion dalam sektor strategik, selain membantu 20 peratus perusahaan mikro Bumiputera berpotensi beralih kepada entiti sendirian berhad.

Penyenaraian United Asiapac dilihat sebagai bukti bahawa sasaran berkenaan mampu dicapai menerusi usaha syarikat, bimbingan yang tersusun serta kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta.

“United Asiapac perlu memanfaatkan statusnya sebagai syarikat tersenarai untuk memperluas pasaran, meningkatkan daya saing dan meneroka peluang baharu.

“Kejayaan itu turut diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kepada tenaga kerja, vendor dan perusahaan tempatan di Sarawak,” tambah beliau. – TVS

Read Entire Article