ADVERTISE HERE
MIRI, 13 Sept: Hala tuju pembangunan ekonomi Sarawak mendapat perhatian Bank Pembangunan Asia (ADB) susulan perkongsian Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada pertemuan di Manila, Filipina, minggu lalu.
Abang Johari berkata, beliau dijemput untuk berkongsi visi serta pengalaman Sarawak dalam membangunkan ekonomi, menangani kemiskinan dan merancang hala tuju negeri pada masa hadapan.
Menurutnya, perkongsian tersebut turut mendapat maklum balas positif daripada pihak ADB yang berminat mengetahui pendekatan Sarawak dalam pembangunan ekonomi.
“Mereka bertanya, ‘Bolehkah anda kongsikan dengan kami masa depan Sarawak? Mereka sangat teruja dengan visi Sarawak.
“Saya kongsi apa yang kita ada dan hala tuju ekonomi Sarawak serta bagaimana kita hendak membasmi kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Khas Parti Bersatu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Zon Utara di Stadium Tertutup Miri, di sini, hari ini.
Tambah beliau, pendidikan menjadi antara pendekatan utama bagi menangani isu kemiskinan kerana peningkatan kualiti pendidikan mampu membuka peluang lebih luas kepada generasi akan datang.
Dalam pada itu, Sarawak kini memberi tumpuan kepada sektor tenaga, teknologi, pendidikan dan ekonomi digital sebagai antara pemacu pertumbuhan baharu negeri.
Katanya, Sarawak perlu terus memanfaatkan kekuatan sumber asli serta kepakaran anak tempatan bagi memastikan pembangunan ekonomi dapat dikekalkan dalam jangka panjang. – TVS

55 minutes ago
4








English (US) ·