Wanita maut tersepit dalam kemalangan SUV di Mukah

1 hour ago 4
ADVERTISE HERE

MUKAH, 19 Sept: Seorang wanita maut selepas tersepit dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah SUV Perodua Aruz di Flyover Simpang Mukah-Selangau, hari ini.

Mangsa, Patricia Gula Lumun, 41, yang juga pemandu kenderaan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, anak mangsa, Maximilience Ariellano Manfred, 19, mengalami kecederaan.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa lelaki berjaya dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau tiba di lokasi pada jam 5.04 petang dengan kekuatan tujuh anggota dan sebuah jentera FRT.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa wanita yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi dikawal pada jam 5.20 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 5.40 petang selepas keadaan di lokasi disahkan selamat. -TVS

Read Entire Article