ADVERTISE HERE
KUCHING, 25 Sept: Wanita bukan sahaja perlu berkebolehan dalam memimpin, malah perlu bijak mencipta peluang ekonomi menerusi keusahawanan, membuka peluang pekerjaan dan memanfaatkan kemahiran bagi menjana pendapatan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perhatian dan bimbingan sewajarnya perlu diberikan kepada golongan perempuan sejak di bangku sekolah supaya mereka mampu memainkan peranan dalam menjana ekonomi.
Katanya, Sarawak mempunyai pelbagai produk unik yang boleh dimanfaatkan dan dipelajari golongan perempuan sebagai peluang untuk menjana pendapatan.
“Dari dia bersekolah dia dilatih diberi dia ilmu dari segi produk yang ingin dilatih kepada mereka jadi mereka ada sesuatu yang mereka boleh manfaatkan nanti dan saya dapat melihat beberapa produk daripada sarawak yang sangat unik yang boleh dikongsikan dididik kepada pelajar-pelajar perempuan ini supaya perempuan-perempuan ini mampu menjadi lebih wanita yang produktif kelak jadi ini diantara visi kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Program Kepimpinan Wanita Dan Pemimpin Akar Umbi Dalam Tadbir Urus, Pembuatan Keputusan Dan Pembangunan Lestari (Perantis PTS 062) di Kuching pada Jumaat.
Menurut Nancy, sebagai menteri yang menjaga portfolio wanita, keluarga dan komuniti, antara ukuran keberhasilan tugasnya adalah melihat lebih ramai pemimpin wanita dilahirkan serta mampu menjalankan aktiviti yang menjana pendapatan untuk keluarga.
Katanya, wanita juga perlu mempunyai perancangan, visi dan hala tuju yang jelas bagi membolehkan mereka melangkah lebih yakin dan berkesan dalam kepimpinan serta terlibat dalam proses membuat keputusan.
Dalam program sama, Nancy turut melancarkan secara rasmi Perantis PTS 062 yang melibatkan 43 peserta kaum Dayak sebagai permulaan kepada perjalanan pembangunan kepimpinan mereka.
Program berkenaan dilaksanakan menerusi tiga fasa yang merangkumi kepimpinan diri dan akar umbi, tadbir urus serta kepimpinan organisasi, diikuti kepimpinan komuniti, jaringan strategik dan Pelan Tindakan Kepimpinan 90 Hari.
Elemen bimbingan dan refleksi turut disepadukan sepanjang program bagi membantu peserta membina keyakinan, jaringan serta keupayaan mengaplikasikan ilmu yang diperoleh selepas kembali ke komuniti masing-masing.
Fasa satu yang berlangsung pada 25 dan 26 September memberi fokus kepada kepimpinan diri dan akar umbi, identiti kepimpinan, pemikiran strategik, pembuatan keputusan beretika serta komuniti, budaya dan warisan.
Fasa dua pada 16 dan 17 Oktober pula memberi penekanan kepada tadbir urus, akauntabiliti, komunikasi kepimpinan dan penyelesaian konflik.
Sementara itu, fasa tiga yang dijadualkan berlangsung pada 6 dan 7 November memberi fokus kepada kepimpinan komuniti, jaringan strategik, penggemblengan sumber dan kelestarian program, termasuk pembangunan Pelan Tindakan Kepimpinan 90 Hari. -TVS

52 minutes ago
4








English (US) ·